Andalusia taja pakej umrah Amir Sisi, keluarga

Md Daud (dua dari kiri) di samping Amir (dua dari kanan), serta (dari kiri), Umar Fikri, Ramlah dan Azrul di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, hari ini.
- Advertisement -

SEPANG: Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd. (Andalusia) buat julung-julung kalinya telah menaja pakej menunaikan umrah juara bagi program The Chosen One musim pertama, Amir Sisi, yang merupakan orang Asli suku kaum Temiar.

Bukan itu sahaja, Andalusia turut menaja keluarga Amir, terdiri daripada ibunya, Ramlah Sirai dan abang sulung, Azrul Sisi serta guru Bahasa Inggeris di Sekolah Kebangsaan RPS Pos Kemar, Gerik, Perak, Umar Fikri Mohamad Shakri untuk ke Tanah Suci bagi menunaikan umrah.

- Advertisement -

Pengerusi Eksekutif Andalusia, Dato’ Md Daud Che Ngah berkata, beliau bersyukur ke hadrat Ilahi kerana pihaknya berpeluang menaja Amir yang baru berusia 12 tahun itu serta ibu dan abangnya, dan guru tersebut untuk menunaikan umrah.

“Ini adalah merupakan satu dakwah keluaran ataupun terbitan daripada seorang (kaum)Orang Asli yang begitu muda umurnya telah memancarkan satu rasa dakwah yang sangat baik. Maka, Andalusia berasa sangat teruja dan berbesar hati memberikan sumbangan berbentuk hadiah umrah untuk empat individu ini.

“Kita amat mengharapkan usaha dakwah ini.. agar dia (Amir) muncul sebagai mentor kepada (kaum) Orang Asli (yang lain). Dapatlah kesemua (kaum) Orang Asli yang mengikuti perkembangan dia turut serta menjadi macam dia.

“Jadi, dalam kalangan mereka ini dah ramai yang masuk Islam dan apatah lagi Amir berkebolehan bernasyid, menyanyi, azan, berlagu dan berbagai-bagai versi lagu dia boleh buat”  katanya ketika ditemui di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, hari ini.

Tambah Md Daud, ia merupakan satu tarikan dan pihak Andalusia turut mendapat peluang yang sangat bertuah dan gemilang sekali gus, pihaknya dapat memberi sumbangan.

“Selain daripada ini, kita juga ingin mendapat pahala daripada Allah SWT tetapi merupakan satu jalan awalan yang kita nak buka selebar-lebarnya kegiatan kita boleh menyantuni semua khususnya (pemberian) kepada Orang Asli.

“Sebelum ini orang tak berapa menyedari tapi, bila kita memunculkan benda ini (tajaan) saya harap, ia merupakan satu tarikan.

“Jadi, saya bersama Pengarah Urusan Andalusia, Ibrahim Mat Sin, serta Pengarah dan Penasihat Undang-undang Andalusia, Ida Riswana Idris yang mengendalikan Andalusia bersama dengan staf-staf utama amatlah berasa teruja dan seronok dapat mengendalikan satu projek yang kita rasa lain daripada yang lain sepanjang dua tahun lebih kita mengendalikan Andalusia.

“Insya-Allah, harapnya kita berjaya dengan dakwah ini,” ujarnya lagi.

Sehubungan itu, katanya, tajaan yang diberi selama 12 hari 10 malam itu juga akan turut menyediakan seorang Mutawwif terbaik di Andalusia, Mohammad Ilham Amri yang akan membantu, memberi panduan dan tunjuk ajar kepada mereka.

Ditanya HarakahDaily, Md Daud berkata, jumlah keseluruhan tajaan bagi keempat-empat mereka yang ditaja itu adalah sebanyak RM28,720.

“Pada hari ini (Ahad, 24 Dis) juga, seramai 283 orang yang menyertai umrah. Turut serta, selebriti televisyen tanah air, Ustazah Isfadiah Mohd Dasuk,” katanya.  HARAKAHDAILY  24/12/2023

- Advertisement -