MELAKA: Kerajaan Negeri Melaka melalui Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) digesa agar mendengar keluhan peniaga di Bandar Hilir yang terkesan akibat langkah penutupan beberapa jalan di situ pada setiap hujung minggu.
Menurut Pesuruhjaya PAS negeri, Tuan Guru Zulkifli Ismail, ini susulan satu perhimpunan bantahan terhadap langkah tersebut yang dilakukan oleh peniaga-peniaga di Medan Samudera, di situ, semalam.
Katanya, program Zon Bebas Kenderaan Bandar Hilir yang mula dilaksanakan bermula Ogos lepas yang hanya melibatkan tempoh enam jam pada setiap Sabtu telah dipanjangkan kepada 54 jam bermula 6 petang Jumaat hingga 12 tengah malam Ahad bermula Jumaat lepas sehingga menimbulkan masalah kemerosotan jualan para peniaga di situ.
“Langkah mengurangkan kenderaan dalam mencapai hasrat Bandaraya Melaka bebas karbon pada asalnya adalah langkah yang sangat baik selaras dengan agenda sejagat yang kini sedang menuju ke arah itu demi kelangsungan ekosistem bumi.

“Namun, pihak PAS Negeri Melaka difahamkan berlaku beberapa masalah kepada orang ramai yang timbul kesan daripada langkah ini,” ujarnya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Tambahnya, semasa program itu bermula yang hanya melibatkan enam jam pada hari Sabtu, ia telah mendapat respons yang positif dari para peniaga kerana ia tidak menjejaskan perniagaan mereka malah mewujudkan peluang-peluang perniagaan baharu.
“Namun apabila ia ditingkatkan kepada 54 jam ia telah menimbulkan masalah kepada para peniaga ini kerana perniagaan mereka terjejas teruk,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Jasin itu berkata, pihak MBMB sewajarnya mengambil langkah proaktif dalam menjalankan langkah ini dengan mengambil kira masalah-masalah yang mungkin timbul dalam pelaksanaannya.
“Perlu ada inisiatif-inisiatif yang dapat mengatasi masalah-masalah yang berlaku daripada langkah ini melibatkan penyediaan alternatif-alternatif yang masih mesra alam.
“Sebagai contoh, menyediakan kenderaan berasaskan elektrik (EV) seperti buggy yang mencukupi, sewaan motosikal EV, bas EV atau apa-apa alternatif lain yang masih mesra alam namun dapat mengatasi masalah penyusutan pelanggan akibat langkah ini,” ujar beliau.
Tegas Tuan Guru Zulkifli, sekiranya alternatif-alternatif ini tidak dapat diwujudkan, pihak MBMB digesa agar mengurangkan tempoh penutupan jalan itu dengan hanya sekadar dari jam 6.00 petang hingga 12 tengah malam Jumaat, Sabtu dan Ahad melibatkan tempoh sekitar 18 jam sahaja.
“Langkah ini juga selaras dengan luahan para peniaga di situ yang mahu agar tempohnya dikurangkan agar mereka ada ruang untuk berniaga pada sebelah siang sebelum ia ditutup pada sebelah malam.
“PAS Negeri Melaka memohon agar pihak Kerajaan Negeri Melaka dan MBMB dapat mempertimbangkan keluhan para peniaga dan orang ramai ini,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 24/12/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!