Rakyat miskin tegar: Kerajaan perlu perluas pelaksanaan IPR

Wan Martina Wan Yusoff
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu memperluaskan lagi pelaksanaan Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) bagi membantu meningkatkan pendapatan golongan miskin tegar di negara ini.

Senator Dr Wan Martina Wan Yusoff berkata, tidak sampai 50 peratus permohonan IPR yang diterima.  

- Advertisement -

“Hanya 49,687 daripada 132,404 permohonan sahaja yang telah diterima,” katanya melalui soalan tambahan beliau kepada Menteri Ekonomi di Dewan Negara, di sini, hari ini

Adakah inisiatif baharu diberikan kepada mereka untuk memastikan mereka juga dapat dibantu?” soal beliau.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dalam jawapannya berkata, pihak kementerian telah menggunakan pelbagai saluran dan sumber maklumat untuk menentukan dan menyasarkan penerima.

“Salah satunya melalui sumber maklumat yang diperolehi melalui data e-Kasih.

“Kedua adalah saluran yang dibuka kepada orang ramai sehingga mendapat sambutan permohonan sehingga 129,000,” jelasnya.

Katanya lagi, selepas kementerian membuat semakan silang setiap permohonan daripada orang ramai ini, didapati ada yang sebahagiannya bukan pemohon daripada kategori miskin tegar atau miskin, mereka ini  akan dikeluarkan (daripada senarai).

“Kemudian daripada jumlah itu, mereka yang berada dalam kumpulan saringan akan dipadankan berdasarkan kepada projek yang akan dilaksanakan,” ujarnya

Justeru, Rafizi menegaskan bahawa daripada pengalaman Kementerian Ekonomi setakat ini, setelah melalui dua hingga tiga  pusingan untuk memadankan dan membuat tawaran, sebenarnya tidak sampai 20 peratus mereka yang mula-mula mendaftar kemudian akan terima tawaran yang diberikan. 

“Kebanyakannya ang mendaftar ketika itu, mereka hendak semua bantuan yang diberikan oleh pihak kerajaan.

“Contohnya, pelaksanaan program Inisiatif Usahawan Makanan (INSAN) di Machang, Kelantan. Pada masa itu, kita mempunyai 10 orang peserta yang telah berdaftar. Apabila kita membuka peluang, semuanya tidak berminat.

“Pihak kementerian terpaksa mengiklankan semula dan membuka semak silang sekali lagi. Proses ini akan berulang sekali lagi,” hujahnya.   

Oleh itu, katanya, kementerian berharap semak padu yang dilaksanakan akan mengurangkan pusingan-pusingan dalam kerja-kerja pentadbiran.   

“Pihak kementerian juga akan mencari yang betul-betul berminat dan memenuhi kriteria yang telah ditetapkan ini,” katanya.  HARAKAHDAILY 4/12/2023

- Advertisement -