‘Perjanjian air Malaysia-Singapura melampaui had’

Tuan Ibrahim Tuan Man
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perjanjian air 100 tahun antara Malaysia dan Singapura yang antara dicadangkan agar Singapura turut dilibatkan sama dalam kaji selidik pengurusan sumber air di Johor, disifatkan sebagai melampaui batas.

Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian) berkata demikian, susulan isu perjanjian air antara Singapura dan Malaysia yang membabitkan tempoh yang agak lama – sehingga 100 tahun, sambil menggesa agar kerajaan mendedahkan kepada umum mengenai perincian perjanjian itu sama ada dalam bentuk makluman atau perbincangan.

- Advertisement -

“Pada 30 Okt 2023, baru-baru ini Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim ada buat pertemuan dengan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong  berkaitan isu kerjasama bekalan air kedua-dua negara.

“Saya melihat ada keperluan untuk pihak kementerian sama ada dalam bentuk makluman atau perbincangan mendedahkan isu perjanjian air dengan Singapua kerana ia memakan masa 100 tahun; dan akan memberi kesan besar kepada negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membuat celahan ketika ucapan pihak  Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar & Perubahan Iklim di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Menurut Tuan Ibrahim, Anwar  juga telah mencadangkan agar kerajaan Singapura turut terlibat dalam kaji selidik pengurusan air di Johor.

“Saya fikir ini sudah melampaui had sebab sumber air adalah bidang kuasa negeri dan jika kita dedahkan sumber air kita ia akan menjadi isu keselamatan negara.

“Pada pandangan saya, sepatutnya pihak luar tidak dilibatkan dalam pengkajian terhadap pengurusan sumber air di negara kita kerana ia melibatkan keselamatan negara,” tegasnya.

Terdahulu, perkara tersebut dibangkitkan  dalam pertemuan bersama Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong, sempena Sesi Pemukiman Pemimpin-Pemimpin Malaysia-Singapura Ke-10 pada Isnin, 30 Oktober lepas.

Anwar dilaporkan berkata, Malaysia dan Singapura tidak boleh melihat isu tertunggak antara dua negara berkenaan secara berasingan.

Sebaliknya, beliau menegaskan, isu tertunggak antara dua negara perlu dilihat secara menyeluruh berikutan hubungan dua hala yang akrab dan saling memerlukan.   

“Isu air umpamanya sudah lama tertunggak. Pendirian Malaysia jelas iaitu kita perlu menghormati perjanjian dan komitmen untuk terus membekalkan air dari Johor ke Singapura. 

“Di samping itu, Malaysia dan Singapura perlu bekerjasama untuk memastikan Johor boleh meningkatkan kapasiti punca air di sungai-sungai di negeri itu untuk dibekalkan bagi keperluan domestik yang meningkat dan keperluan Singapura. 

“Berbanding hanya terlalu menumpukan kepada mekanisme harga, kita perlu melihat kemungkinan untuk Singapura turut serta dalam kaji selidik yang boleh dibuat serta-merta, terutama dalam pengurusan punca air sungai Johor bersama kerajaan negeri,” katanya. – HARAKAHDAILY 1/11/2023                                                                                                                                                                                   

                                                                                                                                                                                          

                                                                                                                                          

          

- Advertisement -