Kelantan hargai polis tumpaskan sindiket pengedaran dadah

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kejayaan pihak polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah tempatan dan antarabangsa di Kelantan diharap dapat melahirkan masyarakat yang lebih selamat dan berkualiti.

Timbalan Menteri Besar,  Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, kejayaan menumpaskan sindiket pengedaran dadah adalah langkah penting dalam membentuk masyarakat yang bebas daripada ancaman dadah dan segala dampak negatifnya.

- Advertisement -

“Kerajaan negeri Kelantan mengucapkan tahniah kepada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan Polis Kelantan di atas kejayaan tersebut. 

“Tindakan tegas merupakan langkah penting dalam memerangi wabak dadah yang merosakkan masyarakat dan di negara kita,” katanya selepas mesyuarat Exco di Kota Darulnaim hari ini.

Dalam operasi semalam, JSJN berjaya merampas sejumlah besar dadah syabu seberat 521 kilogram yang dianggar bernilai RM17.2 juta.

Serbuan tersebut juga membawa tangkapan tujuh lelaki tempatan dan seorang lelaki warganegara Thailand yang terlibat dalam sindiket pengedaran dadah. 

Terdahulu menurut laporan media, syabu terbabit diseludup dari Thailand dan akan dipasarkan ke negeri lain termasuk di Lembah Klang.

“Saya sering sebut, beras wangi dari Thailand, mangga Siam dari Thailand melalui Kelantan terlebih dahulu sebelum dipasarkan ke negeri-negeri lain. 

“Alhamdulillah, dengan ketangkasan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan PDRM Kelantan, sindiket itu berjaya ditumpaskan,” katanya. – HARAKAHDAILY 1/11/2023

- Advertisement -