Negeri Pantai Timur diramal banjir Nov ini

- Advertisement -

KOTA BHARU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menjangka negeri-negeri di Pantai Timur akan mengalami banjir fasa pertama November ini berdasarkan ramalan cuaca.

Ketua Pengarahnya, Dato’ Sri Abdul Wahab Mat Yasin berkata, berdasarkan keadaan yang diramalkan pihaknya akan memberi satu fokus sebagai langkah bersiap sedia dengan sebarang fenomena cuaca yang akan berlaku terutama bagi kawasan Pantai Timur.

- Advertisement -

“Dalam pada itu, pihak kami turut mengenal pasti sebanyak 5,648 hotspot (titik panas) kawasan berisiko berlaku banjir di seluruh negara.

“Daripada jumlah itu, Sarawak merekodkan kawasan tertinggi dengan 1,066 hotspot diikuti Sabah (798), Pahang (750), Johor (745), dan Kelantan (617),” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pelancaran Kesiapsiagaan Monsun Timur Laut (MTL) di Ibu Pejabat JBPM Negeri Kelantan di Tunjong, di sini, hari ini, yang turut dihadiri Pengarahnya, Zainal Madasin.

Sementara itu, beliau berkata, JBPM turut menubuhkan sebanyak 13 Pasukan Gerak Cepat  yang mempunyai keanggotaan bagi setiap pasukan terdiri daripada 15 pegawai dan anggota pelbagai kepakaran termasuk Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) dan juga kemahiran pengendalian bot serta anggota Pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS).

“Pasukan Gerak Cepat ini ada di setiap negeri di semenanjung yang bersedia lebih awal untuk membantu mana-mana daerah ataupun pusat terbabit dengan banjir bagi operasi pemindahan mangsa banjir serta penyelamatan ketika MTL,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/10/2023

- Advertisement -