KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak menghayati maksud petikan ayat 77 Surah al-Qasas yang meminta umat Islam melakukan kebaikan seperti Allah memberi rezeki kepada semua insan di dunia ini.
Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang (PN-Marang) berkata, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, membaca surah itu ketika pembentangan Belanjawan 2024.
Namun, katanya kerajaan Madani hari ini dilihat terus menafikan peruntukan wakil rakyat kepada pembangkang walaupun perkara itu termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Dalam ayat ini, buat baik macam Allah buat baik kepada kamu, Allah beri rezeki, umur panjang kepada hambanya yang beriman dan tidak beriman, yang ikut dan lawan dia, buat maksiat.
“Inilah keadilan Allah kepada manusia, bukan macam kita hari ini, kita pilih-pilih, ini tidak betul,” katanya pada Sesi Perbahasan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau yang juga Presiden PAS berkata, perkara yang sama turut dilakukan dalam keputusan melepas tanpa membebaskan (DNAA) Timbalan Perdana Menteri daripada 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram.
Menurutnya, keputusan tersebut merupakan satu lagi ketidakadilan yang dilakukan kerajaan melalui proses kehakiman yang dianggap tidak melalui proses yang ditetapkan oleh badan tersebut.
Katanya, keadilan itu bukan membabitkan sokongan pembangkang mahu pun sokongan pihak kerajaan, sebaliknya konsep itu merupakan sebahagian kebajikan yang amat dituntut dalam agama Islam.
“Keadilan melalui kehakiman ini satu hal, termasuk kebajikan itu menegak adil, adil untuk semua, ini sangat penting, konsep adil untuk semua, sedang perkara ini sudah diajar Allah dalam al-Quran.
“Tegakkan keadilan kerana Allah. Jangan sebab kamu bermusuh kepada sesuatu kaum…tidak berlaku adil, ini kita kerajaan, pembangkang bukan musuh, dengan musuh juga kena berlaku adil,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/10/2023