PAS lulus usul suruhanjaya semak agihan kuasa

Siti Mastura Muhammad
- Advertisement -

SHAH ALAM: Negara akan terdedah dengan masalah ketirisan, salah guna kuasa dan gagal memberi khidmat terbaik kepada rakyat jika kerajaan Persekutuan diberikan pemusatan kuasa yang terlalu besar.

Perwakilan Muslimat PAS, Dr Siti Mastura Muhammad berkata demikian dalam cadangan ‘Usul 3: Menyemak Semula Agihan Kuasa Antara Persekutuan dan Negeri-Negeri yang Termaktub Dalam Jadual ke-9 Lembaga Persekutuan’; yang kemudian telah diluluskan dalam Muktamar Tahunan PAS Ke-69 pada hari ini, Sabtu.

- Advertisement -

PAS meluluskan usul berkenaan adalah bagi mendesak kepada penubuhan suruhanjaya  bebas dengan perkenan Majlis Raja-Raja, yang bertanggungjawab mengkaji semula agihan kuasa yang terkandung dalam Lembaga Persekutuan serta pelaksanaannya yang telah berlaku selama lebih 65 tahun di Malaysia.

Terdahulu, usul berkenaan telah disokong perwakilan dari Tumpat, Datuk Mumtaz Md Nawi sebelum dipersetujui sebulat suara oleh kesemua perwakilan yang hadir.

“Pemusatan kuasa yang terlalu besar juga akan menyebabkan berlakunya diskriminasi secara terang-terangan kepada negeri ditadbir parti yang tidak sehaluan dengan kerajaan Persekutuan.

“Kita mahu suruhanjaya ini dianggotai rentas negeri, parti, kaum dan bangsa. Perlu diwujudkan ‘intergovernmental relations’ atau hubungan antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri yang lebih baik dalam pelbagai aspek pelaksanaan kuasa-kuasa yang terkandung dalam Jadual ke-9 Perlembagaan Persekutuan,” kata Siti Mastura.

Ahli Parlimen Kepala Batas itu juga menegaskan bahawa dalam tempoh semakan semula tersebut, Kerajaan Persekutuan dan kerajaan-kerajaan negeri perlu menghormati dan mematuhi segala peruntukan Perlembagaan Persekutuan berkaitan agihan kuasa antara kedua-dua peringkat kerajaaan tanpa berkurang walau sedikit pun, termasuk royalti kepada negeri Kelantan.

Beliau juga menegaskan, kerajaan juga perlu mempertimbangkan agihan kuasa secara serius dengan memberikan lebih kuasa kepada negeri-negeri, bukan sahaja kepada Sabah dan Sarawak bagi memenuhi keperluan rakyat yang semakin bertambah.

“Hubungan yang baik juga perlu ada antara kerajaan Persekutuan dan negeri dalam pelbagai aspek pelaksanaan kuasa yang terkandung dalam Jadual Ke-9 Perlembagaan Persekutuan,” hujahnya.

Siti Mastura turut meminta supaya kerajaan tidak memberikan layanan yang berbeza, sama ada daripada segi layanan kepada ketua kerajaan atau mana-mana kakitangan negeri dalam agihan peruntukan dan projek pembangunan.

“Agensi atau mana-mana badan berkanun yang ditubuhkan semata-mata untuk mengalihkan peruntukan kewangan atau projek pembangunan negeri seperti Jabatan Pembangunan Persekutuan perlu dimansuhkan, supaya peruntukan atau projek tidak hanya berada dalam pengetahuan dan kawalan kerajaan negeri,” tegasnya.

Beliau turut menyatakan bahawa  PAS perlu memperkukuhkan ‘interstate governmental relations’ melalui dasar State Government 4 (SG4). 

“Kerjasama ini khususnya pada dasar-dasar yang melibatkan keterjaminan makanan (food security),” katanya. – HARAKAHDAILY 21/10/2023

- Advertisement -