Zionis Israel bom gereja, masjid di Gaza

Orang ramai mencari mangsa dalam runtuhan Gereja Ortodoks Yunani, Saint Porphyrius di bandar Gaza, susulan dibom serangan udara tentera Zionis Israel pada malam Khamis,19 Okt) 2023. (FOTO: GETTY IMAGES/Ali Jadallah)
- Advertisement -

SEMENANJUNG GAZA: Selepas serangan udara tentera Zionis Israel yang telah mengorban dan mencederakan ‘sebilangan besar’ penduduk yang dipindahkan dan berlindung di pekarangan sebuah gereja di Gaza, sebuah masjid turut dibom.

Kementerian dalam negeri Palestin yang terkepung berkata, akibat serangan bom di Gereja Ortodoks Yunani, Saint Porphyrius di bandar Gaza, pada malam Khamis (19 Okt), ramai yang maut dan tercedera, termasuk penganut Kristian.

Saksi memberitahu agensi berita, AFP bahawa serangan udara itu telah ditujukan kepada sasaran yang berhampiran dengan tempat ibadat yang dibina pada abad ke-12 itu, lokasi  di mana ramai penduduk Kristian dan Muslim Gaza telah berlindung daripada siri serangan tidak berperikemanusiaan tentera udara Zionis laknatullah itu.

- Advertisement -

Sementara Pengurus Muslim Care Malaysia-Palestin, Ahmed Abu Ayesh, melalui hantaran WhatsApp kepada media Malaysia, pada hari ini, Khamis (20 Okt) berkata, sekurang-kurang lapan belas orang penganut Kristian terbunuh dalam serangan Zionis Israel terhadap gereja berkenaan.

Terletak di kawasan kejiranan bersejarah di bandar Gaza, gereja itu menawarkan tempat perlindungan kepada orang-orang dari pelbagai agama sejak beberapa generasi.

Sehubungan itu, Patriarkat Ortodoks Yunani Baitulmaqdis dalam kenyataannya  mengecam sekeras-kerasnya  serangan tersebut. 

“Mensasarkan gereja dan institusinya, bersama-sama dengan tempat perlindungan yang mereka sediakan untuk melindungi rakyat Palestin yang tidak bersalah, terutamanya kanak-kanak dan wanita yang kehilangan tempat tinggal akibat serangan udara Israel di kawasan perumahan mereka sejak 13 hari lalu, ia merupakan jenayah perang yang tidak boleh diabaikan begitu sahaja,” ujar kenyataan tersebut.

Sementara, Abu Ayesh juga memaklumkan melalui WhatsApp, pesawat perang Zionis juga telah menyasarkan Masjid Al-Omari di Jabaliya, terletak kira-kira 4 kilometer di Utara bandar Gaza.

“Bangunan Masjid Al-Omari musnahkannya sama sekali yang mengorban dan mencederakan sebilangan orang awam di situ,” katanya. 

Sementara, ujarnya, 23 terkorban dalam serangan tentera Israel terhadap kediaman berhampiran Masjid Anwar Aziz di juga di Jabalia, yang mana mangsa ditemui di bawah runtuhan masjid berkenaan.

Sejak melakukan serangan terhadap Semenanjung Gaza bermula 7 Okt lalu, Kementerian Kesihatan Palestin berkata,  tentera Zionis Israel telah membunuh sekurang-kurangnya 4,137 rakyat Palestin dan mencederakan 13,000 yang lain, kebanyakannya orang awam.

“Kebanyakan operasi perubatan bagi merawat mangsa-mangsa yang cedera akibat serangan udara Israekl dilakukan tanpa bius kerana ketiadaan bekalan,” ujar kenyataan itu. HARAKAHDAILY 20/10/2023

- Advertisement -