Wanita perlu diberi kefahaman sistem demokrasi

- Advertisement -

SHAH ALAM: Golongan wanita perlu diberi kefahaman yang jelas terutama berkaitan sistem demokrasi yang diamalkan di negara ini.

Ahli Jawatankuasa Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM), Dato’ Ustazah Siti Ashah Ghazali berkata, apabila wanita tidak faham mengenai sistem demokrasi terutama memilih pemimpin, ia boleh diperalatkan pihak lain.

- Advertisement -

Kata beliau, implikasinya bukan sahaja kepada dirinya sebaliknya terhadap keluarga kerana nasib mereka terabai pemimpin politik yang tidak cakna terhadap nasib rakyat.

“Sebab itu wanita perlu diberi pendedahan berkaitan politik dan isu semasa supaya keterlibatan mereka sebagai pengundi dapat memberi input terbaik kepada Islam dan negara,” katanya ketika ditemui selepas perasmian Muktamar PAS kali ke-69, hari ini.

Ketika menyampaikan ucaptama pada muktamar, Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, berharap muslimat memain peranan lebih serius bagi membangkitkan isu-isu berkaitan wanita.

Menurutnya, muslimat memainkan peranan penting dalam sistem kekeluargaan bagi melahirkan masyarakat yang sejahtera di Malaysia.

“Saranan Tuan Guru membuktikan keprihatinan PAS kepada masyarakat termasuk isu-isu berkaitan wanita,” katanya.

Siti Ashah yang juga Ketua Dewan Muslimat PAS Kedah berkata, Presiden PAS turut menyentuh mengenai kecaknaan PAS kepada semua rakyat tanpa mengira bangsa dan agama.

Katanya, hubungan masyarakat majmuk di negara ini terus dipertahankan sehingga sekarang terutamanya ketika negara di bawah pentadbiran PERIKATAN NASIONAL (PN).

“Masyarakat bukan Melayu wajar mendapat hak kerana mereka juga sebahagian daripada rakyat Malaysia,” ujar beliau yang juga Adun Merbau Pulas. – HARAKAHDAILY 20/10/2023

- Advertisement -