Surah Taha: Prinsip, pendekatan dan cabaran dakwah (4)

- Advertisement -

NABI diutus menghalang kezaliman Firaun

- Advertisement -

فَأْتِيٰهُ فَقُوْلَآ اِنَّا رَسُوْلَا رَبِّكَ فَاَرْسِلْ مَعَنَا بَنِيْٓ اِسْرَاۤءِيْلَ ەۙ وَلَا تُعَذِّبْهُمْۗ قَدْ جِئْنٰكَ بِاٰيَةٍ مِّنْ رَّبِّكَ ۗوَالسَّلٰمُ عَلٰى مَنِ اتَّبَعَ الْهُدٰى

“Maka pergilah kamu berdua kepadanya (Firaun) dan katakanlah: “Sesungguhnya kami berdua adalah utusan Tuhanmu, maka lepaskanlah Bani Israel bersama kami dan janganlah kamu menyeksa mereka. Sesungguhnya kami datang kepadamu dengan membawa bukti (atas kerasulan kami) daripada Tuhanmu. Dan keselamatan itu dilimpahkan kepada orang yang mengikut petunjuk. (47)”

Antara mesej atau risalah yang dibawa adalah supaya Firaun membebaskan Bani Israel. Bani Israel tinggal di Palestin, bukan di Mesir. Semasa zaman Nabi Yusuf, mereka berhijrah. Ketika Nabi Yusuf menjadi seorang raja, Baginda mengambil semua adik-beradiknya serta ayahnya, Nabi Yaakub untuk tinggal di Mesir.

Kemudian, mereka bergerak keluar dari Mesir menuju ke Palestin. Namun setelah sekian lama berlakunya peperangan dan penjajahan, orang Yahudi di Palestin dibawa semula ke Mesir dan mereka dijadikan sebagai hamba.

Pada zaman Bukhtanassar atau Nebuchanezzar, dia menangkap orang-orang Yahudi, menjadikan mereka sebagai hamba dan membawa mereka ke Mesir. Dia merupakan raja yang hebat kerana membina kota istana yang hebat di Babylon atau Iraq. Kotanya ditanam dengan pokok-pokok yang tergantung sehingga ia berupa sebuah taman.

Bani Israel berterusan menjadi hamba dan tinggal di suatu kawasan khusus tanpa bercampur dengan penduduk Qibti yang merupakan penduduk asal Mesir. Jadi, kedatangan Nabi Musa dan Nabi Harun adalah meminta supaya Firaun membebaskan Bani Israel dan tidak menyeksa mereka. Kemudian, barulah mereka akan mengajak Firaun kepada Islam.

Ucapan السَّلٰمُ عَلٰى مَنِ اتَّبَعَ الْهُدٰى itu biasanya disebut kepada orang bukan Islam. Kalau orang Islam bercampur dengan orang bukan-Islam, sebutlah Assalamualaikum wa السَّلٰمُ عَلٰى مَنِ اتَّبَعَ الْهُدٰى . 

اِنَّا قَدْ اُوْحِيَ اِلَيْنَآ اَنَّ الْعَذَابَ عَلٰى مَنْ كَذَّبَ وَتَوَلّٰى

“Sesungguhnya telah diwahyukan kepada kami bahawa seksa itu (ditimpakan) ke atas orang yang mendustakan dan berpaling.” (48)

Diberitahu kepada Firaun bahawa azab akan diturunkan kepada sesiapa sahaja yang tidak mempercayai dan melawan kebenaran yang dibawa oleh Nabi dan Rasul:

قَالَ فَمَنْ رَّبُّكُمَا يٰمُوْسٰى

“Firaun berkata: Maka, siapakah Tuhanmu berdua, wahai Musa?” (49)

Firaun yang berasa pelik dengan apa yang dikatakan oleh Nabi Musa, dia bertanya, siapakah Tuhan yang menjaga dan memeliharanya? Sebab Nabi Musa dibesarkan di dalam istananya, makan minum dan pakaian ditanggung sehingga menjadi orang hebat. Pada pandangannya, dialah yang memelihara semua orang di Mesir. Tanpanya, orang tidak boleh hidup.

Empat tingkatan hidayah

قَالَ رَبُّنَا الَّذِيْٓ اَعْطٰى كُلَّ شَيْءٍ خَلْقَهٗ ثُمَّ هَدٰى

“Musa berkata: Tuhan kami ialah (Tuhan) yang telah memberikan kepada tiap-tiap sesuatu bentuk kejadiannya, kemudian memberinya petunjuk.” (50)

Nabi Musa menjawab, Tuhan yakni Allah ialah yang memberi segala-galanya kepada manusia termasuklah nyawa, makan minum dan petunjuk. Allah memberi ilmu bagaimana nak memanfaatkan sesuatu yang dicipta-Nya.

Misalnya, kereta atau kapal terbang yang dicipta, asalnya daripada bijih besi yang digali daripada bawah tanah, dibakar sehingga menjadi cair dan dibentuk menjadi itu dan ini. Berlian yang digali keluar dari Afrika. Mutiara yang dicari di dasar laut dengan menyelam.

Petunjuk yang dimaksudkan dalam ayat ini bukanlah merujuk kepada agama sahaja tetapi lebih luas lagi iaitu ilmu dan bimbingan-Nya. Dengan akal fikiran, kita boleh melakukan itu dan ini.

Misalnya, boleh mencipta kapal selam yang dapat bertahan selama seminggu di bawah laut. Boleh naik ke bulan dengan alat dan bekalan oksigen. Boleh mengawal dunia dengan menggunakan satelit.

Kita manusia diberikan akal untuk membezakan antara yang benar dan salah. Makhluk lain diberikan naluri. Daripada tafsir Abul Kalam Azad dari India ketika mentafsirkan Surah Al-Fatihah, disebut bahawa hidayah ini dalam pelbagai bentuk.

1) Hidayah yang paling tinggi adalah wahyu. Wahyu tiada cacat cela dan sempurna sebab datang daripada Allah S.W.T. Contohnya al-Quran yang merupakan sumber hidayah.

2) Hidayah seterusnya adalah akal. Dengan akal, kita boleh memerhati, berfikir dan membuat rumusan. Kalau tiada akal, kita mungkin boleh tertipu. Ibarat pensel yang dimasukkan ke dalam gelas yang berisi air. Kalau dilihat dengan mata kasar dari luar, pensel kelihatan bengkok. Hakikatnya, ia tidak bengkok sebab akal yang menentukan.

3) Hidayah berikutnya adalah mata yang merupakan salah satu indera. Indera-indera lain ialah telinga untuk pendengaran, tangan untuk sentuhan, hidung untuk bauan dan rasaan. Namun, semua indera ini menjadi kurang sempurna ketika jatuh sakit seperti demam.

Mata celik tetapi kalau berada di dalam gelap, pasti kita tidak akan nampak. Sebab penglihatan memerlukan cahaya. Kucing yang berjalan di dalam gelap bukan kerana matanya cerah tetapi dengan bantuan misainya yang dikenali sebagai ‘vibrissae‘.

4) Hidayah yang paling rendah adalah dalam bentuk naluri. Kata Abul Kalam Azad: cuba perhatikan anak kucing selepas dilahirkan. Matanya terpejam tetapi dengan naluri, ia mencari dan merapatkan diri dengan ibunya untuk mendapatkan susu. Begitu juga dengan budak kecil yang lapar susu:

قَالَ فَمَا بَالُ الْقُرُوْنِ الْاُوْلٰى

“Firaun berkata: Jika demikian, bagaimana pula keadaan umat-umat yang dahulu?” (51)

Nabi Musa berkata kalau tidak beriman kepada Allah dan tidak percaya kepada risalah-Nya, orang itu akan menerima azab di akhirat. Firaun bertanya mengenai keadaan kaum-kaum terdahulu sebab Nabi Musa baru sahaja muncul dan tiada lagi Nabi-nabi yang hampir dengannya:

قَالَ عِلْمُهَا عِنْدَ رَبِّيْ فِيْ كِتٰبٍۚ لَا يَضِلُّ رَبِّيْ وَلَا يَنْسَى

“Musa menjawab: Pengetahuan mengenai itu ada di sisi Tuhanku, di dalam sebuah kitab, Tuhan kami tidak akan salah dan tidak (pula) lupa. (52)”

Nasib mereka tidak diketahui. Tetapi semua kerja amal yang dilakukan telah dicatit oleh-Nya melalui malaikat Raqib dan Atid. Setiap orang ada malaikat yang sentiasa mengikuti. Segala amal baik atau buruk dicatat. Namun, kesudahannya terserah kepada-Nya.

Tugas kita hanya menyampaikan dan kesimpulannya terserah kepada-Nya. Tidak boleh kita menuduh orang yang tidak mahu mengikuti kita akan masuk neraka. Kita tidak boleh menjatuhkan hukum. Kerja syurga atau neraka adalah kerja Allah, bukan kerja kita.

Mungkin pada zahirnya, perbuatan itu membawa kepada neraka. Tetapi, kita tidak mengetahui pengakhirannya. Mungkin di akhirat nanti, dia akan mendapat syafaat daripada Nabi, orang alim atau orang soleh. Kisah pemuda yang membunuh seratus orang boleh dijadikan pengajaran. Dengan rahmat-Nya, dia boleh masuk syurga.

Jagalah hubungan dengan Allah S.W.T

الَّذِيْ جَعَلَ لَكُمُ الْاَرْضَ مَهْدًا وَّسَلَكَ لَكُمْ فِيْهَا سُبُلًا وَّاَنْزَلَ مِنَ السَّمَاۤءِ مَاۤءًۗ فَاَخْرَجْنَا بِهٖٓ اَزْوَاجًا مِّنْ نَّبَاتٍ شَتّٰى

“”Yang telah menjadikan bagimu bumi sebagai hamparan dan yang telah menjadikan bagimu di bumi itu jalan-jalan dan menurunkan dari langit air hujan.” Maka Kami tumbuhkan dengan air hujan itu pelbagai jenis tumbuh-tumbuhan yang bermacam-macam. (53)”

Allah yang menciptakan langit dan bumi. Cuba letakkan semut yang mewakili kita di atas sebiji bola sepak yang mewakili dunia. Semut akan nampak bola itu luas dan rata sedangkan bentuknya bulat. Bentuk bulat bumi diketahui melalui kajian sains.

Bumi berputar mengelilingi matahari. Jadi, hanya sesuatu yang bulat boleh berputar. Cuma, pada pandangan manusia, ia nampak rata. Dengan ilmu-Nya, kita boleh bergerak, membina jalan, bangunan dan bandar di atas bumi.

Masyarakat pada ketika itu bertani dan bercucuk tanam. Air menjadi keperluan utama. Di Mesir tempat Nabi Musa, Sungai Nil merupakan punca sumber air yang utama. Setiap tahun Sungai Nil membanjiri untuk menyuburkan lembah di sekeliling.

Semasa zaman Sayyidina Umar, Amru bin Al-‘As menjadi Gabenor Mesir. Berlaku kemarau dan Sungai Nil juga surut airnya. Ada yang memberi cadangan penyelesaian supaya dibuang anak dara yang baik ke dalam sungai itu. Amru tidak bersetuju lalu menghantar surat kepada Sayyidina Umar.

Umar membalut suratnya dan menyuruh supaya Amru membuangnya ke dalam sungai. Amru tertanya-tanya apa isi surat itu. Lalu, surat itu dibuka dan berisi: “Daripada Umar kepada Sungai Nil, wahai Sungai Nil, kalau kamu mengalir kerana kuasa Allah, kamu kena mengalir seperti biasa dan biar air keluar. Tetapi kalau kamu mengalir dengan kuasamu sendiri, kamu tetaplah kering seperti itu”.

Amru berasa hairan, ingatkan ada ayat jampi ke apa. Dia membungkusnya semula lalu meminta orang suruhannya membuang ke dalam sungai. Tidak lama kemudian, dengan izin-Nya, air pun pasang dan melimpah [1].

Hebatnya Umar yang boleh mengarah sungai. Inilah antara keramat yang ada pada Sayyidina Umar. Tadbir dengan agama. Apabila pemimpin bertakwa, berlakulah perkara-perkara di luar jangkaan kita.

Jadi, walau hebat setara mana pun kita, hubungan dengan Allah tidak boleh putus. Sebab kadang-kadang bala yang turun disebabkan oleh dosa yang kita lakukan tanpa kita sedar. Kita ada melakukan perkara yang Allah tidak sukai tetapi kita tidak meminta ampun dengan Allah S.W.T.

Allah menurunkan air dari langit dan menjadikan setiap tumbuhan itu berpasang-pasangan. Oleh sebab itu, tumbuhan boleh berbuah dan berbunga. Begitu juga dengan siang dan malam, langit dan bumi, udara dan lautan.

Dalam falsafah Cina lama, ada Yin dan Yang. Simbolnya melambangkan ada jantan dan betina dalam kehidupan. Kedua-duanya mesti harmoni. Seperti hubungan dalam rumahtangga. Pada simbol itu juga, ada lapan penjuru atau disebut sebagai bagua atau trigrams yang melambangkan lapan elemen asas kehidupan.

Tubuh kita pun ada panas dan sejuk, jadi kena berjaga-jaga dalam pemakanan. Durian tidak boleh dilagakan dengan timun batang, kalau tidak ia boleh membawa kepada maut:

كُلُوْا وَارْعَوْا اَنْعَامَكُمْ ۗاِنَّ فِيْ ذٰلِكَ لَاٰيٰتٍ لِّاُولِى النُّهٰى

“Makanlah dan gembalakanlah binatang-binatangmu. Sesungguhnya pada yang demikian itu, terdapat tanda-tanda kekuasaan Allah bagi orang yang berakal. (54)”

Segala yang Allah ciptakan adalah untuk kita manusia: 

۞ مِنْهَا خَلَقْنٰكُمْ وَفِيْهَا نُعِيْدُكُمْ وَمِنْهَا نُخْرِجُكُمْ تَارَةً اُخْرٰى

“Dari bumi (tanah) itulah Kami menjadikan kamu dan kepadanya Kami akan mengembalikan kamu dan daripadanya Kami akan mengeluarkan kamu pada kali yang lain. (55)”

Kita semua berasal dari bumi, hidup di atas bumi dan akan kembali semula ke bumi. Walaupun nama hebat tetapi hakikatnya kita tiada apa-apa. Kita menjadi punah, lupa diri dan asal usul akibat dipuja.

Kuliah Tafsir Mingguan disampaikan Yang di-Pertua Dewan Negeri Kelantan, Dato’ Sri Amar Diraja Haji Mohd Amar Abdullah yang juga Naib Presiden PAS pada Isnin, 16 Oktober 2023 di Masjid Assidiqin, Mukim Panchor, Kelantan.HARAKAHDAILY 20/10/2023

Rujukan:
[1] Rujuk Al-Bidayah wa Al-Nihayah oleh Ibnu Kathir (7/114).