Caj pembayaran QR tambah buruk senario ekonomi negara

Prof Mohd Nazari Ismail

KUALA LUMPUR: Caj pembayaran QR yang dikenakan oleh mana-mana pihak bank hanya memburukkan lagi keadaan ekonomi yang sedia ada di negara ini.

Pakar ekonomi Islam bebas Universiti Malaya (UM), Prof Mohd Nazari Ismail berkata, harga-harga barang telah pun meningkat dari semasa ke semasa akibat daripada penurunan nilai mata wang negara ini melalui inflasi.

Advertisement

“Setiap bank tidak sepatutnya membuat caj sebegini kerana ianya hanya akan mengurangkan pendapatan ramai peniaga kecil yang menyebabkan mereka akan terpaksa menaikkan lagi harga barang sedia ada,” katanya.

Menurut beliau, perkara tersebut juga akan menambahkan bebanan pelanggan-pelanggan sedia ada lebih-lebih lagi yang sedang bergelut dengan keadaan kewangan untuk membayar pelbagai komitmen seperti barangan keperluan, membayar hutang dan seumpamanya.

“Kita harus ingat bahawa sebahagian peniaga kecil turut bergelut dengan komitmen sebegitu termasuklah kenaikan harga barang, nak kena bayar hutang lagi dan seumpamanya.

“Apabila pihak bank buat lagi perkara sebegini hanya meyebabkan kekurangan pelanggan dan ini akan mengurangkan keuntungan peniaga tersebut sehingga ada yang akan terpaksa gulung tikar kerana tidak mampu membayar hutang,” ujarnya.

Tambah beliau lagi, dengan sistem keuntungan berasaskan hutang yang diamalkan oleh mana-mana bank termasuklah berkonsepkan Islamik telah terbukti memburukkan keadaan ramai rakyat marhaen seperti mana yang berlaku pada masa ini termasuklah peniaga kecil.

“Ini ditambahkan lagi dengan pihak bank meneruskan caj pembayaran QR, maka yang terjamin berlaku hanyalah peningkatan masalah-masalah sosial termasuklah pengangguran, kes kecurian barang dan seumpamanya,” katanya.

Beliau sehubungan itu, meminta Bank Negara Malaysia (BNM) untuk sentiasa peka dengan keadaan ekonomi rakyat marhaen dan membuat sesuatu untuk menyekat polisi bank sebegini.

“Pihak BNM kena membuat sesuatu bagi menyekat mana-mana bank dalam mengenakan caj pembayaran QR kerana mereka tidak boleh sewenang-wenangnya melakukan sedemikian lebih-lebih lagi pada masa ini,” tegasnya.

Tambah beliau, polisi sebegitu tidak menjadikan negara Malaysia sebagai negara tanpa tunai dan hanya memburukkan lagi keadaan kewangan negara sedia ada.

Dalam menghadapi masalah yang kian serius ini, i apa yang boleh dilakukan oleh rakyat marhaen, ujar beliau, ialah agar  tidak mengambil hutang dengan mana-mana bank.

“Saya nasihatkan supaya jangan ambil hutang dengan mana-mana bank walau apa pun dan sekalipun terpaksa berhutang maka biarlah dengan keluarga atau orang-orang terdekat tapi yang penting bayar tepat pada masanya.

“Ini supaya kita tidak lagi manambahkan kadar inflasi di negara ini kesan daripada pinjaman-pinjaman bank dan pada masa yang sama dapat menjamin diri kita tidak diperhambakan oleh mana-mana pihak,” katanya. – HARAKAHDAILY 2/10/2023