Rakyat Pahang telah tolak Umno-BN bentuk kerajaan

Dato' Jasri Jamaludin
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dato’ Jasri Jamaludin mengingatkan penduduk dan pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai bahawa kerajaan Pahang hari ini bukan lagi kerajaan Umno/BN.

- Advertisement -

Menurut ADUN Kuala Sentol itu, Kerajaan Pahang hari ini adalah Kerajaan Umno-DAP yang ditubuhkan hasil ‘perkawinan luar tabie’ antara Umno dan parti dominan berideologi ‘Malaysian Malaysia’, DAP.

Katanya, DAP menerusi Pakatan Harapan (PH) mendapat lapan kerusi DUN keseluruhannya di kawasan bandar.

Sehubungan itu, beliau berkata penduduk Pelangai perlu ingat bahawa kerajaan negeri yang ada pada hari ini pada hakikatnya tidak mendapat mandat rakyat.

Secara keseluruhannya, katanya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang lalu, rakyat Pahang telah menolak Umno/BN daripada membentuk kerajaan.

Timbalan Pengerusi PERIKATAN NASIONAL Maran itu berkata, Umno/BN hanya mendapat 16 kerusi jauh berkurang daripada 25 kerusi yang dimenanginya semasa PRU14.

“Ini jelas menunjukkan lebih 50 peratus daripada pengundi rakyat Pahang, mengikut perangkaan terbaru penduduk negeri Pahang, seramai 1,550,071 orang tidak mengundi parti Umno/BN.

“Malah buat pertama kali dalam sejarah, PERIKATAN NASIONAL telah memenangi sebanyak 17 kerusi DUN dan seterusnya menafikan 2/3 majoriti Ahli Dewan Negeri Pahang dalam PRU lepas,” ujarnya.

Kata beliau, bagaimanapun, untuk menjadi kerajaan, Umno/BN terpaksa bekerjasama dengan DAP yang berlainan ideologi.

“Umno/BN telah meninggalkan asas perjuangan datuk nenek kita yang telah berjuang puluhan tahun untuk negara dan bangsa kita.

Kini, ujarnya tiada lagi laungan ‘hidup Melayu’ pada Perhimpunan Agung Umno malah diganti dengan ‘reformasi’.

Justeru, kata beliau akhirnya reformasi yang dilaungkan pun sudah menjadi ‘reformati’ apabila banyak perkara yang dicanangkan semasa mereka menjadi pembangkang tidak dilaksanakan.

Tambah beliau, untuk mengisi kekosongan yang dahulu diperjuangkan oleh Umno/BN, kini PERIKATAN NASIONAL sebagai alternatif kepada pengundi-pengundi di Pelangai.

“Saya menyeru pengundi-pengundi di DUN Pelangai memberikan undi kepada calon PERIKATAN NASIONAL untuk menjadikan kerusi DUN Pelangai sebagai kerusi yang ke-18.

“Mudah-mudahan dengan kemenangan kerusi Pelangai ini, Kerajaan Umno-DAP di Pahang tidak dapat bertahan lama dan akhirnya PERIKATAN NASIONAL boleh membentuk kerajaan baru.

Beliau percaya ada di antara Ahli Dewan Negeri Pahang daripad kalangan Umno yang di dalam hati kecil mereka tidak menyokong kejasama parti itu dengan DAP. – HARAKAHDAILY 21/9/2023

- Advertisement -