Pemimpin PN harap dapat kerusi ke-18 – Cikgu Kasim

- Advertisement -

BENTONG: Calon PERIKATAN NASIONAL bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Pelangai, Cikgu Kasim Samat menganggap tugasnya amat berat untuk mendapat kerusi ke-18 di Pahang.

- Advertisement -

“Gementar pun ada, dia lebih kepada takutlah sebab tanggungjawab yang sangat besar sebagai seorang pemimpin, namun saya akan sentiasa bekerja keras untuk mencapai kemenangan.

“Badan saya, nyawa saya adalah untuk PERIKATAN NASIONAL (PN),” ujarnya kepada media usai diisytiharkan sebagai calon PN bagi PRK DUN Pelangai pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihanraya dan Pengumuman Calon PERIKATAN NASIONAL PRK N.36 Pelangai di Simpang Pelangai, malam tadi.

Pengumuman itu dilakukan oleh Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man. Turut berucap ialah Pengerusi PERIKATAN NASIONAL negeri, Dato’ Sri Saifuddin Abdullah dan Pesuruhjaya PAS negeri, Ustaz Rosli Abdul Jabar.

Ketika ditanya adakah terdapat perbezaan dari sudut emosi dahulu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menjadi calon PAS bagi Dun Pelangai dan diletakkan sekali lagi sebagai calon dengan harapan PN negeri mendapat kerusi ke-18, beliau tidak menafikan ia tugas yang amat berat.

“Yang ini harapan masyarakat, harapan negara, harapan keseluruhan kepimpinan tertinggi yang nampak jelas kelihatan. Dengan kehadiran kepimpinan PN, ini menggambarkan bahawa mereka benar-benar mengharap kepada kerusi ke-18 ini,” ujarnya yang juga Naib Yang Dipertua PAS Kawasan Bentong.

Kasim, anak jati Felda Cemomoi, Pelangai merupakan Pengerusi Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia Kebangsaan Negeri Pahang akan bertembung mantan calon BN Dun Ketari pada PRU15 lalu, Dato’ Amizar Abu Adam yang juga bekas anak muridnya sendiri.

“Saya tak terkata apa, tak boleh nak komen lebihlah, itu bergantunglah kepada Dato’ Amizar sendiri melihat saya sebagai gurunya dan melihat dirinya sebagai murid saya.

“Saya sedang memikul amanah parti yang sangat besar, insya-Allah saya akan cuba melakukan dengan sebaik mungkin walau siapa lawan, murid tetap murid dan saya adalah gurunya sampai bila-bila,” ujarnya lagi.

PRK DUN Pelangai diadakan susulan kematian penyandangnya, Dato’ Seri Johari Harun dalam nahas pesawat terhempas berhampiran Bandar Elmina, Shah Alam pada 17 Ogos lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan penamaan calon bagi PRK itu pada 23 September ini, mengundi awal 3 Oktober dan hari mengundi pada 7 Oktober. – HARAKAHDAILY 21/9/2023

- Advertisement -