PN kecam strategi halang pengundi keluar undi di PRK KKB

Muhammad Hanif Jamaluddin
- Advertisement -

HULU SELANGOR: Pemuda PERIKATAN NASIONAL (PN) mengecam sekeras-kerasnya usaha dan strategi sesetengah pihak yang cuba memanipulasi pengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB), khususnya dalam kalangan pengundi Melayu agar tidak keluar mengundi pada 11 Mei ini.

Naib Ketua Pemuda PAS, Muhammad Hanif Jamaluddin berkata, sesungguhnya perbuatan tersebut adalah suatu pengkhianatan terhadap negara dan merupakan jenayah demokrasi.

- Advertisement -

“Pemuda Perikatan Nasional mengingatkan seluruh rakyat khususnya pengundi di DUN KKB bahawa hak untuk mengundi dalam pilihan raya adalah hak yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam sidang media PRK KKB di sini, hari ini.

“Tanggungjawab sebagai seorang warganegara yang sah untuk memilih wakil bagi membawa suara rakyat dan akar umbi sama ada ke peringkat Dewan Negeri atau Parlimen dalam sistem demokrasi berperlembagaan.

“Justeru, sekiranya terdapat mana-mana pihak yang cuba mengugut, menyekat atau menghalang pengundi daripada menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi yang sah pada 11 Mei nanti, Pemuda Perikatan Nasional menggesa para pengundi untuk segera membuat laporan polis di atas tindakan yang mencabuli hak berperlembagaan tersebut,” tegasnya.

Beliau juga menyeru kepada seluruh para pengundi di DUN KKB khususnya dalam kalangan generasi muda supaya keluar beramai-ramai bagi menyempurnakan tanggungjawab kita kepada negara dan tanah air tercinta.

“Ayuh bersama dengan arus perubahan yang sedang melanda Kuala Kubu Bharu demi masa depan dan kemaslahatan seluruh warga. Kuala Kubu, Kita Bangkit!” katanya. – HARAKAHDAILY 9/5/2024

- Advertisement -