Mutang Tagal meninggal dunia di IJN

Mendiang Mutang Tagar. (FOTO: Jabatan Penerangan Malaysia)
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Yang Di-Pertua Dewan Negara, Senator Datuk Mutang Tagal, 70, meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN), di sini, pada 11.46 pagi tadi.

Menurut kenyataan yang disahkan Pejabat Yang Di-Pertua Dewan Negara, beliau terlebih dahulu menerima rawatan di IJN setibanya di Malaysia pada 6 Mei daripada Azerbaijan.

- Advertisement -

Mendiang Mutang yang melakukan lawatan kerja di negara itu bermula 29 April lalu, pulang lebih awal daripada yang dijadualkan.

Mendiang mengetuai delegasi Malaysia untuk menghadiri Forum Dunia mengenai Dialog Antara Budaya Keenam yang berlangsung pada 1 hingga 3 Mei di Baku, Azerbaijan.

“Keluarga mendiang Mutang turut mengucapkan ribuan terima kasih atas kiriman takziah serta doa yang diberikan dan menghargai ruang masa yang diberikan kepada mereka dalam menghadapi masa yang sukar ini,” menurut kenyataan itu, pada hari ini

Tambah kenyataan tersebut, maklumat lanjut berkenaan pengebumian dan majlis penghormatan mendiang akan dimaklumkan kemudian.

Mendiang merupakan Orang Ulu yang pertama dipilih menjadi Yang Di-Pertua Dewan Negara yang ke-20 dan mengangkat sumpah di Dewan Negara pada 19 Feb lalu, dan pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Bukit Mas pada 1982 hingga 1990.

Pelantikan Mutang mencipta sejarah apabila mendiang yang berasal dari Lawas, Sarawak menjadi pemimpin pertama dari etnik Lun Bawang dilantik memegang jawatan itu.

Mendiang mempunyai latar belakang pendidikan dan praktis di dalam bidang perundangan dan pemergian beliau meninggalkan isterinya, Datin Ho May Leng dan tiga orang anak. – HARAKAHDAILY 10/5/2024

- Advertisement -