KUALA LUMPUR: Pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu yang akan mengundi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) pada esok, Sabtu (11 Mei) diingatkan supaya membuat keputusan yang bijak tanpa sentimen, atau terpengaruh dengan mana-mana pihak dan tidak terikat dengan apa-apa sogokan.
Pengerusi Pertubuhan Ekspresi Anak Malaysia (Anak Malaysia), Mohamad Rosharizan Mohd Rozlan berkata, pengundi di PRK KKB perlu memilih berdasarkan kefahaman, keyakinan dan pembuktian yang betul, adil serta saksama.
“Anak Malaysia maklum bahawa PRK ini tidak akan mengubah kedudukan kerajaan di peringkat Dewan Negeri Selangor, namun suara KKB adalah sangat penting dalam menyampaikan mesej bahawa kebajikan dan keadaan ekonomi rakyat belum terbela dengan sebaiknya,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, kerajaan perlu bertanggungjawab dan tidak menjadikan PRK ini sebagai medan menabur apa yang dikenali sebagai ‘projek-projek segera’.
“Hakikatnya, rakyat telah bijak untuk tidak termakan dengan janji serta projek segera ini sebagai asas memilih calon dan parti yang bertanding.
“Kita semua menyakini bahawa Malaysia akan menjadi lebih baik jika pemimpin kita lebih matang serta kurang beretorik,” katanya.
Seramai empat calon akan bertanding pada PRK DUN KKB, esok terdiri daripada calon PERIKATAN NASIONAL, Khairul Azhari Saut, Pang Sock Tao (PH), Hafizah Zainudin (PRM) dan Nyau Ke Xin (Bebas).
Sementara, Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) bagi PRK KKB adalah sebanyak 40,226 orang terdiri daripada 39,362 pengundi biasa, 625 anggota polis, 238 anggota tentera dan pasangan, serta seorang pengundi tidak hadir luar negara. – HARAKAHDAILY 10/5/2024
.