Selangor negeri bertuah, berkat federalisme

- Advertisement -

TAHUN 1970, hampir separuh dari seluruh isi rumah di Malaysia masih terperangkap di bawah garis kemiskinan, termasuklah mereka di Selangor.

Bermakna antara dua sekawan, seorang dah tentu miskin, dan seorang lagi mungkin tipis atas garis kemiskinan.

Ekonomi Malaysia ketika itu banyak bergantung pada pertanian dan komoditi, itupun dipelopori oleh warga bukan bumiputera.

Bagi bumiputera, 2/3 isi rumah dikategorikan sebagai miskin. Ini antara punca berlaku peristiwa rusuhan kaum 1969 di pusat bandar Kuala Lumpur. (Gambar 1)

Bermula dari itulah Kerajaan Pusat, melalui dasar-dasar baru, bergerak rancak untuk galakkan pelaburan asing.

Pada 1980-an, sebahagian besar dana kerajaan dilabur untuk projek naik taraf infrastruktur di Negeri Selangor dan sepanjang koridor Barat.

Disusuli projek mega seperti lebuhraya, lapangan terbang, industrial estate seperti di Shah Alam, Koridor Multimedia di Cyberjaya, pajakan wilayah pentadbiran di Putrajaya, naik taraf pelabuhan, semuanya secara langsung memanfaatkan Lembah Klang.

Itu belum kira pembangunan susulan yang secara tak langsung ditumpukan pada kawasan itu juga seperti GLC, MNC, MRT, LRT, monorel, jambatan, bangunan-bangunan pencakar langit, pusat-pusat membeli belah, sekolah-sekolah swasta, klinik, universiti dan lain-lain.

Ibarat durian runtuh. Selangor yang dahulunya mundur, kian menjadi metropolitan maju.

Tapi, kenapa tumpu pada negeri tertentu sahaja?

Sebabnya berbalik pada konsep asas ekonomi iaitu ketidakcukupan.

Kedudukan awal fiskal negara ketika itu tidak mengizinkan. Hasratnya supaya fokus pada negeri tertentu seterusnya akan bawa limpahan ekonomi ke negeri-negeri lain. (Gambar 2)

Namun negeri-negeri lain terutamanya di Pantai Timur dan Borneo terus ketinggalan dari sudut pembangunan.

Sebab trend dalam perdagangan Antarabangsa, syarikat-syarikat selalunya mengutamakan ‘economic geography’.

Ringkasnya, pelabur akan tertumpu di kawasan pusat industri membangun.

Terlalu sukar untuk negeri lain yang tidak optimal seperti menghadapi masalah infrastruktur, musim banjir, jauh dari pelabuhan dan bukan kawasan tumpuan modal insan untuk bersaing dengan negeri yang ada sudah ada kelebihan seperti yang dinyatakan.

Maka wujudlah perangkap kemiskinan dan kesenjangan melebar. (Gambar 3)

Setakat ni, semua yang disebut sini adalah fasa semula jadi bagi kebanyakan negara yang bergerak dari ekonomi berasaskan komoditi dan asas tani ke arah ekonomi industri berasaskan eksport.

Lebih dikenali sebagai ‘Export Oriented Industrialization’, EOI.

Sama seperti pengalaman EOI di negara lain, industri akan membangun tertumpu di kawasan-kawasan yang ada first mover advantage dalam pasaran untuk mengambil manfaat dari ‘economies of scale’.

Sebab itu ada banyak taman industri di seluruh dunia. Maka di Malaysia juga sama. Pembangunan ‘industrial estate & free industrial/commercial zone’ di koridor Barat terutamanya yang hampir dengan pelabuhan terbukti berkesan. (Gambar 4)

Akhirnya tindakan ini berjaya memacu Malaysia keluar dari perangkap kemiskinan hingga hampir digelar ‘Asian Tiger’ ke 5 selain Korea Selatan, China, Taiwan dan Singapura.

Tapi apa yang tidak semula jadi di Malaysia adalah negara kita termasuk pula perangkap kedua iaitu ‘middle income trap‘.

Negara yang dulunya bermula sama rendah dengan kita seperti Korea, Taiwan dan Singapura kini jauh mendahului.

Maka, model ekonomi Malaysia rancak disusun semula untuk keluar dari perangkap ini.

Maka,generasi kita kena didik diri sendiri untuk mengenang kembali jasa tokoh dan generasi awal yang banyak mengusahakan dasar yang berjaya mengeluarkan Malaysia dari perangkap kemiskinan hari ni. Ia jauh lebih baik dari negara-negara jiran.

Ok. Jom kita toleh ke belakang sikit. Dari mana datangnya punca kekayaan negara kita ini?

Pertama, kita perlu ingat bahawa dana kerajaan yang digunakan untuk membangunkan koridor Barat ini adalah pendapatan negara hasil kutipan dari semua negeri. Semua.

Sebahagian besar pendapatan negara datang dari negeri pengeluar minyak seperti Sabah, Kelantan, Terengganu dan Sarawak. (Gambar 5)

Malangnya, walaupun sebagai penyumbang besar hasil petroleum yang mengkayakan Malaysia, 4 negeri ini ada yang menjadi negeri termiskin di Malaysia.

Ahli politik hari ni suka bercerita mengenai peruntukan lebihan yang diberikan pada negeri-negeri ini tanpa mengambil kira konteks ‘lost development years’ yang memerlukan berdekad lamanya untuk pulih. (Gambar 6)

Kedua, tarikan utama pelabur asing ke Malaysia adalah kerana kos tenaga kerja yang rendah. Mereka yang membantu memenuhi keperluan tenaga kerja dalam industri di negeri-negeri ini adalah mereka dari seluruh negara termasuklah dari negeri-negeri berjiran seperti Negeri Sembilan, Melaka, Perak dan lain-lain

‘Urban migration’ telah membantu merancakkan KDNK negara, kutipan hasil negeri dan limpahan pada ekonomi sehingga orang di Selangor boleh membina ribuan rumah, klinik, sekolah, taman, kompleks sukan,restoran, bank, perusahaan kecil dan sederhana, pusat beli belah serta pelbagai sektor-sektor servis yang kita semua nikmati hari ini.

Hasilnya ‘win-win situation’ untuk semua.

Selangor makin makmur dan rancak ekonominya dengan partisipasi seluruh negara; orang negeri lain pula dapat limpahan rezeki dari kemajuan Selangor.

Maju ke hadapan tahun 2023, sebahagian mereka yang datang dari negeri luar ini diboikot kerana berada di Selangor.

Agak aneh sedangkan orang negeri luar tak pun menghalau balik orang luar yang menjana untung berbilion dari hasil negeri mereka?

Lagi aneh bila ada yang menyuruh supaya peruntukan negeri-negeri ini dikurangkan.

Kerana politik sempit, Menteri Besar di negeri ‘bertuah’ ini mendabik dada kerana tingginya angka KDNK sehingga nak ‘sekolahkan’ Menteri Besar lain bagaimana cara menguruskan negeri.

Apakah ia mencerminkan aspirasi negara dan datuk nenek kita terhadap Selangor ketika mana seluruh negara membantu dan memberi kelebihan kepada Selangor untuk menjadi induk kemajuan ekonomi Malaysia?

Mungkin kita perlu belek semula sejarah untuk belajar saling menghargai.

Kita bukan hendak meremehkan sesiapa tapi sebenarnya nak memberitahu bahawa negeri-negeri perlu menghargai sejarah dan potensi masing-masing.

Sekiranya geografi Malaysia ini lain bentuknya malahan layanan istimewa ini diberikan kepada negeri lain, mungkin sahaja keadaannya berbeza pada hari ini.

WAN NORUDDIN RASOL – HARAKAHDAILY 29/8/2023

Sumber Asal: https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=pfbid02zpqKKX68DazbMcKgpVEd6jvhtQ5L5dE1rXwg34x86gVHsvzAHCUruPBpuSua39Zzl&id=100064587886409&mibextid=Nif5oz

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -
- Advertisement -