Vietnam penting, Biden lawat Hanoi September ini

- Advertisement -

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden akan melawat Vietnam bulan depan untuk bertemu pemimpin utama mengenai pelbagai isu seperti teknologi dan ekonomi, kestabilan serantau dan perubahan iklim, ketika Washington melihat keperluan hubungan lebih rapat di rantau yang China amat berpengaruh.

Biden akan bertemu Setiausaha Agung Parti Komunis, Nguyen Phu Trong dan pemimpin tertinggi Vietnam lain di Hanoi pada 10 September sebelum pergi ke Alaska untuk memperingati ulang tahun serangan 11 September 2001 ke atas AS, kata Rumah Putih.

- Advertisement -

Washington tidak sabar-sabar untuk meningkatkan hubungan dengan Hanoi, menganggap negara itu sebagai rakan kongsi utama di rantau ini ketika hubungan AS dan Beijing semakin tegang. Sementara itu, Vietnam mesti menimbang reaksi jiran berkuasanya apabila China menjadi lebih tegas.

Pentadbiran Biden berusaha untuk mengukuhkan kedudukan AS di Asia dan Biden akan tiba di Vietnam dari India, yang beliau dijadualkan melawat mulai 7 hingga 10 September dan menghadiri sidang kemuncak G20. Bagaimanapun, beliau tidak menghadiri mesyuarat ASEAN awal bulan depan, sebaliknya menghantar Naib Presiden, Kamala Harris.

Di Hanoi, Biden dan pegawai Vietnam akan membincangkan mempereratkan hubungan kedua-dua negara serta meningkatkan “ekonomi Vietnam yang berfokuskan teknologi dan didorong inovasi,” kata Rumah Putih dalam satu kenyataan selepas Biden awal bulan ini mengumumkan rancangan untuk perjalanan itu.

Washington memberi tumpuan kepada Vietnam sebagai rakan serantau utama, terutama apabila memori era Perang Vietnam semakin pudar. Biden dan Trong bercakap melalui telefon pada Mac lalu, dan Setiausaha Negara AS, Antony Blinken melawat negara Asia Tenggara itu sebulan kemudian.

Trong, tokoh paling berkuasa di Vietnam, tahun lalu menjadi pemimpin asing pertama bertemu Presiden Xi Jinping di Beijing selepas pemimpin China itu mendapat mandat memerintah negara itu untuk penggal ketiga. – REUTERS

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!