Kumpulan Kristian serang bar LGBTQ+ di Beirut

Suasana tenang di jalan raya di luar Om Bar Room, di Mar Mikhael, Beirut, Lubnan selepas kejadian diserang kumpulan Kristian, Soldier of God pada lewat malam 23 Ogos 2023. (FOTO: L'Orient Today)
- Advertisement -

BEIRUT: Beberapa individu cedera selepas kumpulan Kristian, Soldiers of God dilaporkan menyerang sebuah bar mesra LGBTQ+ di Beirut, Lubnan.

Premis Om Bar Room yang terletak di kejiranan Mar Mikhael di Beirut itu dilaporkan menganjurkan pertunjukan mak nyah pada lewat malam Rabu (23 Ogos) apabila sekumpulan lelaki mengepung bar tersebut dan mula menyerang beberapa pengunjung yang berada di dalamnya.

Rakaman Video kejadian itu menunjukkan ahli kumpulan Kristian berkenaan memerangkap beberapa individu yang berada di dalam bar berkenaan sambil menjerit bahawa premis itu sebagai ‘syaitan’ dan ‘mempromosikan homoseksual’.

- Advertisement -

Serangan itu berlangsung lebih sejam, dengan beberapa orang pengujung bar tersebut dilaporkan telah dicederakan ahli kumpulan Kristian tersebut, dakwa Tarek Zeidan, pengarah eksekutif kumpulan hak LGBTQ+ Helem, Tarek Zeidan, lapor The New Arab.

Kumpulan Kristian berkenaan dikatakan diasaskan di kawasan kejiranan Achrafieh di Beirut yang dimulakan sebagai peronda kejiranan tetapi dengan cepat mula menyerang pertumbuhan komuniti LGBTQ+ di seluruh Beirut, dan menggelarkan diri mereka sebagai ‘pelindung moral Lubnan’.

Aktivis hak asasi manusia berkata bahawa serangan pada Rabu itu hanyalah peningkatan terbaharu dalam gelombang kebencian dan keganasan yang semakin meningkat yang ditujukan kepada komuniti LGBTQ+ di Lubnan.

Pengasas bersama Pusat Lubnan untuk Hak Asasi Manusia (CLDH), Wadih al-Asmar dalam kenyataannya kepada The New Arab, sebaliknya menyalahkan kerajaan Lubnan dan pemimpin agama di negara itu.

“Serangan ini adalah akibat logik yang menyedihkan daripada kempen yang bermula hampir setahun lalu. 

“Ia disuap oleh wacana kebencian dari peringkat tertinggi dan, malangnya, masyarakat agama di Lubnan,” dakwanya. 

Terdahulu, dalam ucapan beliau pada Julai lalu, ketua kumpulan Hizbullah pro-Iran, Hassan Nasrallah, menyeru agar golongan LGBT dibunuh.

Pada Selasa (23 Ogos) lepas, Menteri Pendidikan, Abbas Halabi, mengharamkan permainan papan Ular dan Tangga daripada sekolah musim panas kerana kepingannya menyerupai bendera pelangi perarakan gay, Pride.

Negara jiran Lubnan juga telah mula menyasarkan komuniti LGBTQ+, dengan Iraq melarang penggunaan perkataan ‘homoseksualiti’ dalam laporan media, sebaliknya mewajibkan penggunaan istilah ‘penyimpangan seksual’. – HARAKAHDAILY 25/8/2023

- Advertisement -