Kes Sanusi: Jelas wujud ‘suasana kebingungan’

- Advertisement -

SIAPA pemikir di belakang pendakwaan Menteri Besar Kedah (MBK) ini? Asas perundangan tipis. Yang tebal ialah rewan politiknya. Dakwaan untuk sabit kesalahan hasutan di bawah S.4 Akta Hasutan 1948 bukan mudah. 12 kes utama hasutan semenjak 1966 menunjukkan betapa sukar menjayakan pendakwaan. Sementelahan lagi, untuk mengaitkan seseorang Raja sebagai objek atau landasan-sumber (basic resource) hasutan bukanlah sesuatu yang mudah di sisi undang-undang.

Keperluan utama kes ialah jika seseorang itu mengemukakan pandangan untuk menghapuskan kedudukan Raja Berperlembagaan. Dalam caj atau dakwaan MBK perihal ini tidak wujud. Tindakan mengaibkan Raja juga tampak samar-samar.

Bukan hendak mencurigai kuasa Pendakwa Raya dalam kes ini. Dia memang berkuasa dalam bidang dakwaan. Saya sekadar hendak menyedarkan mereka dalam sistem pentadbiran undang-undang negara supaya bersikap teliti dan siap siaga sebelum menguatkuasakan undang-undang.

Jika hendak mendakwa seseorang itu pada keesokannya, apa perlunya 20 anggota polis serbu premisnya jam 3 pagi sedangkan MBK itu memang pun bersedia hendak ke mahkamah keesokannya?

Suasana kebingungan jelas wujud. Bijaklah sikit menjaga imej pentadbiran perundangan yang berunsur gestapoisme. Sanusi ketua kerajaan sebuah negeri di Semenanjung Tanah Melayu. Pergi sajalah ke kamarnya ikut keluhuran masa. Tak payahlah pukul 3 pagi. MBK itu tidak tergolong dalam kelompok manusia yang akan cabut lari. 

Orang yang hendak didakwa atas pertuduhan membunuh pun setakat ini tidak dikejutkan dengan serbuan dinihari, inikan pula seseorang yang konon hanya menyalahi undang-undang hasutan yang tempoh hukuman tidak lebih 5 tahun.

Ada semacam perlakuan zaman dulu-dulu: yang ditembak itik danau tapi yang kena ayam denak.

AG/PN kenalah teropong betul-betul.

TAN SRI DATO’ SERI UTAMA DR. RAIS YATIM
(Penulis ialah bekas Speaker Dewan Negara) – HARAKAHDAILY 20/7/2023

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -
- Advertisement -