Nostalgia penahanan pesalah politik

- Advertisement -

TIADALAH waktu yang mungkin teramai ditangkap musuh politik selain daripada waktu Tun Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri dari 1981-2003. Beliau telah mengadakan tangkapan besar-besaran pada tahun 1984 dan kesemua mereka itu diletakkan dalam Akta Keselamatan Dalam Negeri atau Internal Security Act atau lebih masyhur dipanggil ISA.

Pada tahun 1987, sekali lagi diadakan tangkapan besar-besaran dalam satu operasi yang digelar Operasi Lalang dan kemudiannya 1988, Operasi Kenari. Alasan penangkapan amat subjektif. Tidak kurang yang langsung tidak tahu apa kesalahan mereka. Bertenang sebentar dari operasi-operasi yang meragut kebebasan rakyat, ia timbul lagi pada akhir 90-an kerana gerakan reformasi. Negara kelihatan agak huru-hara waktu itu. Ditambah lagi dengan gerakan yang hampir sama di rantau Asia waktu itu, menyebabkan frekuensi yang sama terbentuk di Nusantara. Indonesia berjaya menjatuhkan Rejim Suharto yang berkuasa lebih 30 tahun lamanya di tanah seberang.

Demi melihat tersungkurnya Suharto, pembangkang di Malaysia turut mengharapkan keajaiban berlaku juga di bumi bertuah ini. Namun sayang, setelah mencuba sedaya upaya melalui proses demokrasi, pembangkang hanya berjaya mempertahankan Kelantan dan merampas Terengganu sahaja. Manakala Tun Mahathir terus tenang mengetuai upacara mengangkat sumpah menjadi Perdana Menteri tanpa perlu melutut tunduk meminta kerusi tambahan untuk BN kekal menjadi kerajaan kerana BN masih mendapat dua pertiga majoriti di Parlimen.

Yang mengetuai pembangkang waktu itu ialah Dato’ Ustaz Fadzil Noor, kerana Datuk Seri Anwar Ibrahim telah disumbatkan ke dalam penjara setelah melalui proses perbicaraan yang panjang dalam sejarah negara. Kemudian baton Ketua Pembangkang diserahkan kepada Tan Sri Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang kerana pemergian Dato’ Ustaz Fadzil Noor menemui Allah. Anwar masih di penjara.

Ketika akhir 90-an dan awal 2000, sebarang penangkapan pimpinan pembangkang akan dianggap sebagai wira rakyat. Begitulah ia diciptakan naratifnya. Berebut pimpinan pembangkang yang mahu dilihat sebagai wira, untuk merasai keadaan tirai besi, demi mencari nama dan meletakkannya dalam hati rakyat untuk dikenang. Berkebetulannya, semua yang ditangkap dan dipenjarakan tahun-tahun itu majoritinya dari PKR dan DAP. Dari PAS juga ada, tetapi akhirnya mereka semua masuk PH, bersekedudukan mereka bersama di dalamnya. Prinsip mereka ketika itu ialah tidak bersalah walaupun mahkamah sudah menjatuhkan hukuman bersalah. Prinsip itu kekal khas untuk mereka sehingga kini terutama kepada Perdana Menteri ke-10 (PMX) yang sudah dua kali dibicarakan sehingga ke mahkamah paling tinggi dan diberi pengampunan tanpa beliau bersihkan namanya.

Kalau difikirkan, sepatutnya Presiden PAS dahulu yang ditangkap, kerana apabila Ketua Pembangkang tiada, maka sukarlah tindakan yang mahu diambil oleh kumpulannya, lojiknya sebegitu. Tetapi Presiden PAS selalu mengikut undang-undang, jadi tiada keperluan untuk menangkap beliau. Presiden PAS juga tidak memerlukan nama beliau dilonjakkan dengan promosi murahan dimasukkan dalam penjara. Beliau mempunyai banyak tugasan bukan sahaja di Malaysia, malahan di seluruh dunia. Jadi jika tiada kesalahan, mengapa sendiri mahu mengada-adakannya semata-mata mahu dipenjarakan dan dipuja orang? Sama prinsip dengan Dato’ Ustaz Fadzil Noor dan Dato Bentara Setia TG Nik Abdul Aziz, patuhi undang-undang. 

Yang terjadi ialah provokasi keterlaluan kepada pihak berkuasa oleh gerakan reformasi itu. Lihat kepada semua tokoh atau juara di penjara dahulu, Anwar Ibrahim, Ezam Mohd Noor, Lokman Adam, Badrul Amin, Shaari Sungip, Mahfuz Omar, Salahuddin Ayub, Mohamad Sabu, Lim Guan Eng, apa yang berlaku kepada mereka? Mereka sekarang dihina rakyat kerana drama lakonan mereka dahulu hanya mahukan kepada kemasyhuran, bukan keikhlasan dan juga kerana gagal mentadbir negara.

Dahulu mereka memukau rakyat supaya melihat mereka sebagai wira kerana zalimnya pemerintah memenjara mereka. Sekarang, mereka pula menjadi kerajaan. Jika ada kes terkena lawan politik mereka segera dikira penjenayah, walaupun belum dibuktikan dalam mahkamah. Jika dia menuduh, lawannya menerima dana judi, ia terus dikira benar. Jika rakannya berbuat salah, dilambatkan kes, jika lawan berbuat salah, jam tiga pagipun polis datang mengetuk pintu. Tiada lagi prinsip tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah. Semuanya pasti salah, jika dilakukan oleh pihak lawan. Sia-sia puluhan tahun perjuangan rakyat menentang kezaliman, tetapi kezaliman juga yang mereka dapat. 

*Gambar-gambar dari internet. Gambar terakhir ialah sewaktu Tun bertikam lidah dengan Allahyarham Dato’ Ustaz Fadzil Noor di Parlimen. 

MOHD NASIR ABDULLAH – HARAKAHDAILY 20/7/2023

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -
- Advertisement -