Waris pembeli projek sakit perlu dibantu

Senator Dato' Husain Awang
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Senator Dato’ Husain Awang membangkitkan isu keadilan yang perlu diberikan kepada waris pembeli projek terbengkalai yang meninggal dunia.

Katanya, terdapat pembeli rumah membabitkan projek perumahan terbengkalai yang meninggal dunia sebelum rumah sempat disiapkan.

- Advertisement -

“Adakah kementerian berhasrat untuk mempunyai satu mekanisme supaya waris atau ahli keluarga pembeli yang masih belum menerima rumah mendapat keadilan sewajarnya,” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Negara, hari ini.

Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, ketika menjawab persoalan ini berkata, waris perlu merujuk kontrak antara pembeli dan pemaju.

“Soalan ini memang spesifik kepada masalah untuk sesetengah keluarga yang terikat dengan projek sakit atau terbengkalai.

“Jadi apabila berlaku masalah demikian rupa yang melibatkan kontrak, perlu lihat dari sudut perjanjian antara pembeli dan pemaju.

“Sekiranya usaha kementerian untuk memulihkan kembali projek yang terbengkalai memerlukan persetujuan setiap pembeli, jadi isu ini sebenarnya rumit. Cuma setakat ini, jawapan yang saya boleh berikan kepada Yang Berhormat,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/6/2023

- Advertisement -