Kelantan lalui banyak perubahan biarpun ditekan

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kelantan telah mengalami banyak pembaharuan, pembangunan dan kemajuan serta pencapaian berbanding 30 tahun dahulu walaupun berdepan tekanan politik sejak tahun 1990. 

Timbalan Menteri Besar, Dato’ Mohd Amar Nik Abdullah berkata, pengalaman suka duka itu dilalui dengan kemampuan sendiri berkat dasar ‘Membangun Bersama Islam’ pentadbiran kerajaan negeri.

Almarhum Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat menurutnya, telah memperkenalkan dasar yang mantap itu di mana bijak mengemudi negeri dengan sokongan para pegawai tadbir dan ahli-ahli politik.

“Dulu bila kita menang orang ingat PAS ni antipembangunan dan PAS ni tidak boleh mentadbir negeri dan tidak ada perancangan,” ujarnya pada program Sembang Santai sempena Karnival Kelantan Maju Rakyat Sejahtera di Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad IV, di sini semalam.

Beliau memberikan petunjuk di mana dahulunya pendapatan negeri banyak bergantung kepada pembalakan, tetapi pentadbiran yang semakin cekap telah merubah perolehan hasil daripada sumber lain.

Menurut ADUN Panchor itu, balak kini berada di kedudukan ketiga, sebaliknya pendapatan utama Kerajaan Negeri Kelantan diperolehi daripada hasil tanah dan perkhidmatan.

“Makna pergantungan utama kita (kepada balak) ni sudah turun. Dulu orang ingat Kelantan ni kalau tak ada balak tak dak duit. Tapi dengan penyusunan kita, perancangan kita, kita berjaya mengurangkan pergantungan kita kepada balak. 

“Dalam masa yang sama kita boleh bangunkan negeri ini, sebab ada income perkapital kita, pertumbuhan ekonomi kita semakin semakin meningkat,” ujarnya yang juga Naib Presiden PAS.

Rangsangan juga nyata beliau, ditunjukkan menerusi pencapaian agensi-agensi kerajaan negeri termasuk dalam aspek kesejahteraan rakyat seperti pemberian geran tanah dan meningkatkan lagi sektor pendidikan. – HARAKAHDAILY 23/6/2023

- Advertisement -
- Advertisement -