Xi Jinping bukan diktator – PM New Zealand

- Advertisement -

SYDNEY: Perdana Menteri New Zealand, Chris Hipkins, sebelum lawatan rasminya ke China pada akhir bulan ini, tidak bersetuju dengan kenyataan Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden bahawa pemimpin China, Xi Jinping adalah seorang diktator.

“Tidak dan bentuk kerajaan yang ada pada China adalah hal ehwal rakyat China,” kata Hipkins.

- Advertisement -

Ditanya wartawan sama ada rakyat China mempunyai suara untuk membentuk kerajaan, Hipkins berkata: “jika mereka mahu mengubah sistem kerajaan mereka, itu adalah urusan mereka.”

Hipkins dijadualkan melawat China antara 25 hingga 30 Jun, mengetuai delegasi perdagangan yang merangkumi beberapa syarikat terbesar New Zealand. Beliau akan bertemu Xi Jinping, Perdana Menteri Li Qiang dan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kongres Rakyat Kebangsaan, Zhao Leji.

Selepas Biden merujuk kepada Presiden Xi Jinping sebagai diktator, China membalas dengan menyatakan bahawa kenyataan itu adalah tidak masuk akal dan provokasi, suatu serangan yang tidak dijangka selepas kedua-dua negara berusaha mengurangkan pergeseran. – REUTERS