Sistem EMR diperluas ke seluruh negara pada 2026

Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Sistem Rekod Perubatan Elektronik (EMR) akan diperluaskan secara bersepadu ke seluruh negara melalui penggunaan pengkomputeran awan (cloud deployment) pada 2026.

- Advertisement -

Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ketika ini sedang melaksanakan projek perintis EMR di Negeri Sembilan.

Katanya, ini melibatkan peluasan sistem EMR secara penggunaan awan ke semua fasiliti KKM, pembangunan platform perkongsian maklumat kesihatan bersepadu dan perluasan integrasi ke semua fasiliti KKM serta pembangunan klinik virtual di negeri itu.

“Melalui projek perintis EMR di Negeri Sembilan, kerajaan akan berupaya menguruskan risiko pelaksanaan inisiatif EMR seperti faktor ketersediaan fasiliti termasuklah bekalan elektrik, ketersediaan infrastruktur ICT dan lain-lain keperluan naik taraf fasiliti.

“Selain itu, dasar berkaitan perkhidmatan yang terlibat dapat diperkukuhkan dan juga keperluan lain seperti penambahan sumber manusia dan peningkatan tahap kompetensi terhadap sistem EMR,” katanya pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Negara, hari ini.

Lukanisman berkata, inisiatif EMR dilaksanakan sejak Rancangan Malaysia Ke-6 melalui pelaksanaan sistem maklumat pesakit di hospital dan di klinik kesihatan serta pelaksanaan pelbagai sistem sokongan klinikal seperti sistem maklumat pengimejan, sistem maklumat makmal dan sistem maklumat farmasi.

Setakat ini, katanya 41 daripada 149 hospital KKM (27.5 peratus) dan 103 daripada 1,086 klinik kesihatan KKM (9.5 peratus) telah mempunyai sistem pengurusan pesakit, manakala bagi klinik pergigian, 31 daripada 704 klinik pergigian KKM (4.4 peratus) telah mempunyai sistem pengurusan pesakit. – HARAKAHDAILY 20/6/2023

- Advertisement -