Kertas Putih Kesihatan: Tiada pelan ‘reformasi’ dibentang

- Advertisement -

SAYA menzahirkan rasa kekecewaan atas pembentangan Kertas Putih Kesihatan oleh Menteri Kesihatan di Dewan Rakyat hari ini kerana kata-kata ‘reformasi’ yang dilaungkan jauh sekali tersasar dari pelan yang dibentangkan.

Hal ini kerana, pelan tersebut membawa agenda yang tidak jauh bezanya dengan apa yang telah digariskan dalam Pelan Strategik KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) 2021-2025 yang sedang diusahakan sejak 2021 lagi iaitu ketika Khairy Jamaluddin menjadi Menteri Kesihatan.

Pelbagai agenda dan cabaran yang telah digariskan di dalam Kertas Putih tersebut namun ianya seakan-akan mewajahkan semula Pelan Strategik KKM sedia ada. Sebagai contoh, cabaran-cabaran yang dihadapi adalah cabaran yang telah ditertera di dalam Pelan Strategik KKM seperti; Beban Penyakit Berganda, Masalah Kesihatan Mental, Peningkatan Jumlah Warga Emas dan sebagainya. 

Selain itu, keseriusan kerajaan dalam membawa reformasi sektor kesihatan turut dipersoal apabila masalah dan isu yang dibangkitkan oleh Ahli Dewan Rakyat tidak mendapat apa-apa maklum balas apatah lagi tindakan yang sewajarnya.

Oleh itu, istilah ‘reformasi’ yang diuar-uarkan tidak seperti yang diharapkan oleh rakyat. Rakyat mengharapkan satu sistem kesihatan yang mampu membawa negara keluar dari kemelut masalah kesihatan bukannya Kertas Putih sekadar untuk perbahasan di Dewan Rakyat namun tiada perubahan drastik yang dilakukan.

“Malaysia Sejahtera”

YB DR ALIAS RAZAK
Ahli Parlimen Kuala Nerus – HARAKAHDAILY 15/6/2023

- Advertisement -
- Advertisement -