Saran guna pengalaman, pengetahuan veteran tentera

Dato' Khlir Mohd Nor
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan disaran agar perlu menghargai dan mengunakan pengalaman serta pengetahuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk berkhidmat dalam anak syarikat Kementerian Pertahanan.

- Advertisement -

Dato’ Khlir Mohd Nor (PN-Ketereh) berkata, saranan tersebut perlu diberikan keutamaan oleh Kementerian Pertahanan untuk menggunakan kepakaran golongan tersebut.

Beliau juga tidak menafikan peranan besar selama ini yang dibuat oleh Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat).

“Mengapakah kementerian tidak memberi keutamaan untuk bekas tentera berkhidmat dengan anak syarikat seperti Perbadanan Perwira Niaga Malaysia, Pharmaniaga dan banyak lagi.

“Jadi kalau kita tengok di sini penglibatan itu masih kurang veteran kita yang bekerja ini, sedang duit LTAT merupakan hasil caruman anggota angkatan tentera kita,” katanya.

Menjawab soalan tambahan pada sidang Dewan Rakyat, di sini, hari ini, Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata pihaknya sedang menyusun semula peranan veteran di kementerian itu.

Beliau berkata kementerian mempunyai beberapa anak syarikat berkaitan industri pertahanan negara amat memerlukan pengalaman serta pengetahuan golongan itu pada masa sekarang.

“Saya tidak nafikan bahawa kita akan sedaya upaya menyusun kerjaya ini di peringkat agensi kementerian apatah lagi tahun ini kita berusaha memperkenalkan dasar industri pertahanan kita.

“Sudah pasti menyediakan lebih banyak peluang kerjaya kedua bagi anggota pertahanan veteran termasuk, ini mungkin beri satu pendapatan lebih baik kepada veteran kita,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/6/2023

- Advertisement -