Rahsia cemerlang SPM: Sering solat hajat, kongsi ilmu

Nur Amalin Nazihah Mohd Harmizi (tiga dari kanan) diumumkan sebagai calon SPM 2022 Maahad Muhammadi Perempuan (MMP) Kota Bharu paling cemerlang.
- Advertisement -

KOTA BHARU: Nur Amalin Nazihah Mohd Harmizi muncul sebagai pelajar Maahad Muhammadi Perempuan (MMP) Kota Bharu paling cemerlang bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 yang diumumkan di seluruh negara hari ini.

- Advertisement -

Amalin yang memperolehi gred A dalam kesemua mata pelajarannya mencatat keputusan SPM 11A (5A+,4A, 2A-), sekali gus melayakkan dirinya muncul pelajar terbaik MMP.

Ketika ditemui, pelajar itu bersyukur dengan keputusan SPM yang diperolehinya kerana dapat mengembirakan hati ibu dan ayah, selain memberi kebanggaan kepada guru serta sekolah.

“Alhamdulillah, saya bersyukur dengan keputusan yang diperolehi hari ini. Ini juga merupakan berkat doa kedua ibu bapa, selain usaha guru yang mengajar saya tanpa kenal erti penat dan lelah.

“Apa pun saya rasa sangat gembira kerana berkat doa semua pihak saya berjaya,” katanya yang ditemui HarakahDaily selepas mengambil keputusan SPM di MMP, di sini, hari ini.

Menurutnya, antara rahsia mendapat keputusan antaranya sentiasa melakukan solat hajat dan sering berkongsi ilmu dengan rakan-rakan.

Ditanya mengenai perancangan Amalin berkata, dia berharap dapat melanjutkan pengajian ke Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

“Sekiranya mendapat rezeki, saya berhasrat untuk melanjutkan pelajaran ke UIAM dalam bidang perubatan,”  katanya.

Sementara itu, pelajar Maahad Muhammadi Lelaki (MML) Kota Bharu, Tuan Muhammad Amirul Azim Tuan Ibrahim turut mendapat keputusan cemerlang dengan memperolehi 11A bagi kesemua mata pelajaran yang diambilnya dalam SPM 2022.

“Alhamdulillah, saya bersyukur dan gembira sebaik sahaja mengetahui keputusan yang diperolehi hari ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 8/6/2023

- Advertisement -