Jawatankuasa khas bersama atasi masalah air di Kelantan

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kelantan akan menubuh jawatankuasa khas bersama antara kerajaan negeri dan persekutuan untuk berbincang mengenai penyelesaian masalah bekalan air di negeri itu.

- Advertisement -

Exco Kerjaraya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti, Dato’ Sr Azami Mohd Nor berkata ia merupakan permintaan kerajaan persekutuan bagi mengenal pasti kaedah pelaksanaan dan jumlah dana diperlukan.

Katanya, perkara itu bakal diputuskan pada mesyuarat Exco kerajaan negeri minggu depan dan pelantikan ahli jawatankuasa akan diumumkan Menteri Besar.

“Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob dijangka akan mengumumkan pengerusi dan ahli jawatankuasa khas terbabit pada Rabu minggu hadapan.

“Jawatankuasa itu akan bincang kaedah pelaksanaan dan berapa jumlah peruntukan yang diperlukan bagi mengatasi masalah bekalan air di Kelantan,” katanya selepas meninjau kerja-kerja penggantian paip lama AC kepada paip baharu di Desa Darul Naim Pasir Tumboh hari ini.

Hadir sama Timbalan Exco Kerjaraya, Infrastruktur, Pengankutan dan Utiliti Abdul Rahman Yunus; Pengurus Besar Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB), Dr Nazmi Ghazali Azmi dan wakil Pengurusan Aset Air Bhd (PAAB).

Azami juga berkata, keutamaan bagi menyelesaikan masalah bekalan air di Kelantan iaitu pembinaan Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) di Machang dan penggantian paip baharu.

Menurutnya juga sehingga 25 Mei lalu sepanjang 412 kilometer paip usang daripada jumlah keseluruhan paip 4,006 km di seluruh Kelantan, sudah ditukar.

“Baki sepanjang 3,594 kilometer memerlukan perbelanjaan tambahan sebanyak RM1.7 bilion dengan suntikan dana dari kerajaan persekutuan untuk selesai isu air,” katanya. – HARAKAHDAILY 8/6/2023

- Advertisement -