Ilya sasar 2A, peroleh 8A

Iylia Nur Salikin di samping pengetua Madrasah Addiniah Al-Islamiah (MADI), Jejawi. Arau Perlis, Ustaz Zulhimi Rasid.
- Advertisement -

ARAU: Pada mulanya Iylia Nur Salikin Roslan hanya mensasarkan 2A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022,  namun dia tidak menyangka berjaya mencapai 8A selepas pengumuman keputusan SPM tahun ini diumumkan di sekolahnya di sini.

- Advertisement -

Ilya, 21, yang sebelum itu belajar di Maahad Al-Imam An-Nawawi (MATIN) dengan mengikuti pengajian menghafaz Al Quran, kemudian menyambung pelajaran di Maahad An-Nur, Janda Baik, Pahang di bidang kitab Turath.

Anak ketiga dari empat adik beradik ini kemudian mengambil keputusan untuk menduduki peperiksaan SPM di Madrasah Addiniah Al-Islamiah (MADI), Jejawi dengan memasuki tingkatan empat.

“Saya memasuki MADI di penghujung tingkatan empat, pada mulanya untuk mengetahui dahulu konsep pengajian di sini kemudian terus ke tingkatan lima,” katanya.

Menurut Iylia lagi, beliau tidak menyangka akan memperolehi keputusan yang cemerlang kerana beliau bukanlah seorang yang pelajar bijak di bidang akademik.

“Perkara utama yang menjadi amalan semasa saya belajar di pondok ialah adab dengan guru, kemudian setiap hari doa kepada ibu bapa dan guru.

“Selain itu, ibu dan guru saya di pondok selalu pesan untuk sentiasa menghadiahkan Surah Al Fatihah kepada ibu bapa dan guru.

“Supaya setiap hari kita kita akan sentiasa dekat dengan mereka terutamanya guru kerana ilmu yang kita pelajari tidak akan sampai jika ada perkara yang terhalang,” kongsinya.

Justeru, dengan amalan ini katanya, ilmu yang dipelajari akan terus sampai kepada pelajar tersebut.

“Kita juga perlu istiqamah beramal, baca al-Quran dan solat malam, kebanyakannya saya banyak memohon kepada Allah kerana saya bukannya pelajar pintar.

“Mungkin dengan amalan yang kita lakukan ini menjadi asbab untuk saya berjaya mencapai keputusan hari ini,” ujarnya.

Iylia berkaya, dia  bercita-cita untuk menjadi guru kerana mahu berkongsi ilmu dengan masyarakat lain.

“Insya-Allah, selepas ini saya nak ambil Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) kemudian masuk Institus Pendidikan Guru (IPG) atau Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

“Saya berhasrat mahu menjadi guru kerana melalui pekerjaan ini dapat berkongsi ilmu dengan orang lain,” katanya. – HARAKAHDAILY 8/6/2023

- Advertisement -