Calon SPM 2022 Madrasah Addiniah Al-Islamiah peroleh 8A

Ustaz Zulhimi Rasid (depan, duduk) di samping calon-calon SPM 2022 Madrasah Addiniah Al-Islamiah (MADI), Jejawi di Arau, Perlis yang memperoleh keputusan SPM yang membanggakan.
- Advertisement -

ARAU: Madrasah Addiniah Al-Islamiah (MADI), Jejawi mencipta sejarahnya yang tersendiri apabila buat julung-julung kalinya, seorangnya pelajar memperoleh 8A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022.

- Advertisement -

Pengetuanya, Ustaz Zulhimi Rasid berkata, perkara ini membuktikan sekolah yang berada  di bawah pentadbiran Badan Perhubungan PAS Perlis ini juga mampu melahirkan pelajar cemerlang seperti sekolah harian lain.

“Alhamdulillah, tahun ini seorang pelajar kita berjaya mendapat 8A, ini adalah pencapaian terbaik sekolah selepas kita mewajibkan pelajar menduduki SPM sejak 2012.

“Tahun sebelum itu pelajar kita menumpang di sekolah lain untuk menduduki peperiksaan SPM,” katanya.

Seramai 37 pelajar MADI lulus 100 peratus dengan masing-masing seorang pelajar  masing-masing memperoleh 8A, 7A, 6A, 5A, 4A dan 3A, sementara tiga orang lagi memperoleh 2A dan 4 orang mendapat 1A.

Enam mata pelajaran mencapai 100 peratus lulus antaranya Bahasa Melayu, Pendidikan Islam, Sejarah, Sains, Pendidikan Al-Quran dan Sunnah dan Pendidikan Syariah Islam.

Menurutnya Zulhimi lagi, pelajar MADI berpotensi mencapai kejayaan di bidang akademik di samping mempunyai kelebihan dalam bidang agama.

“Ada pelajar kita yang sudah menghafaz 30 juzuk, jadi mereka tidak menghadapi masalah untuk mendalami bidang akademik.

“Insya-Allah, kita akan cuba mengekalkan corak 100 peratus lulus memandangkan dua tahun sebelum ini kita berjaya mencapai lulus 100 peratus.

Dalam pada itu, beliau menzahirkan perasaan bangga dengan kejayaan pelajarnya yang berjaya lulus cemerlang walaupun tidak mengikuti pengajian akademik dari tingkatan satu.

“Sebahagian pelajar kita ada yang tidak bermula dari tingkatan satu, mereka masuk belajar semasa tingkatan empat kerana sebelum itu mereka menghafaz al-Quran di institusi lain.

“Walaupun hanya dua tahun belajar di bidang akademik tetapi keputusan hari ini membuktikan pelajar yang menghafaz al-Quran ini berjaya lulus cemerlang,” katanya. – HARAKAHDAILY 8/6/2023

- Advertisement -