Harga minyak sawit cecah RM4,000 satu tan

Ahmad Parveez (tengah, kiri) dan Mohamad Helmy (tengah, kanan) dalam Majlis Apresiasi Media: Merarau Bersama Media di Kuala Lumpur pada 25 Mei 2023. (FOTO: HARAKAHDAILY/Ikmal Emir)
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Harga minyak sawit yang didagangkan sepanjang separuh tahun kedua 2023 akan diunjurkan antara RM3,800 hingga RM4,000 satu tan.

Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) berkata, Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir, unjuran tersebut lebih tinggi berbanding separuh pertama tahun ini.

- Advertisement -

Menurut beliau, impak tekanan suhu tinggi yang dialami Malaysia susulan kemunculan El-Nino kelak, dilihat bakal mempengaruhi produktiviti, terutama di Sabah dan Sarawak.

“Tidak dapat dinafikan sepanjang El-Nino sudah pasti ia memberi kesan penurunan kepada pengeluaran minyak sawit, tetapi ia tidak akan turun segera kerana mengambil masa 15 hingga 18 bulan untuk melihat kesan El-Nino.

“Kesannya boleh mula dilihat pada tahun depan, bukan tahun ini dan apabila pengeluaran perlahan ia turut menjejaskan eksport minyak sawit,” jelasnya.

Tambah beliau, apa yang positif adalah apabila eksport minyak sawit rendah, permintaan akan tinggi dan harga minyak sawit akan meningkat.

“Pada minggu ini memang kita melihat penurunan harga di bawah RM3,800 satu tan, namun pada separuh kedua 2023 ia akan meningkat lebih RM4,000 satu tan seperti diunjurkan MPOB,”  katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Apresiasi Media: Merarau Bersama Media di Hotel Pullman, Bangsar, di sini, semalam.

Turut hadir ialah Pengerusi MPOB, Mohamad Helmy Othman Basha dan Timbalan Ketua Pengarah (Penyelidikan dan Pembangunan), Dr. Zainab Idris.

Dalam pada itu, Parveez turut menyatakan bahawa pada tahun ini, MYOB menjangkakan dapat mengekalkan pengeluaran sebanyak 19 juta tan minyak sawit.

“Tahun lalu (2022) pengeluaran minyak sawit negara antara 18 hingga 19 juta tan dan tahun ini ia masih sama, namun dijangka akan terjejas tahun depan.

“El-Nino pula akan menjejaskan antara dua ke tiga peratus penghasilan minyak sawit dan paling tinggi boleh mencecah lima peratus, tetapi berdasarkan El-Nino yang melanda negara pada 2016, pengeluaran terjejas sebanyak 20 peratus,” ujarnya.

Sementara itu, Mohamad Helmy pula berkata, Malaysia dan Indonesia buat kali pertama bakal membuat misi bersama ke pasaran yang penting di Eropah pada  mesyuarat Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC).

“Kami hendak menegaskan bahawa  Malaysia dan Indonesia adalah dua negara  pengeluar terbesar minyak sawit dunia dan kami mahu Kesatuan Eropah (EU) mengiktiraf minyak sawit kita.

“Itu pesanan yang hendak kita sampaikan ke Brazil minggu hadapan dan percaya EU akan teruskan hubungan supaya tiada diskriminasi terhadap minyak sawit,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamed Helmy turut memberitahu bahawa MPOB meluluskan kebenaran  akuan fungsi nutrien baharu bagi Palm Tocotrienol Rich Fraction (TRF).

“Kelulusan tersebut adalah bagi pelabelan makanan yang bebas daripada kandungan asid lemak trans (TFA) dalam makanan dan minyak boleh makan.

“pelabelan tersebut juga termasuk dengan makanan lain yang di bawah peruntukan Peraturan 18C, Peraturan-Peraturan Makanan 1983,” jelasnya.

MPOB, ujar beliau lagi, telah menerima kelulusan perakuan berkenaan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 17 Oktober 2022.

“Kelulusan tersebut  adalah selaras dengan seruan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) semua negara menghapuskan kandungan asid lemak trans daripada produk makanan,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa penghapusan kandungan asid tersebut bermatlamat meningkatkan kualiti kehidupan, terutamanya dari aspek kesihatan secara global untuk memerangi penyakit kardiovaskular.

Strategi pelaksanaan tindakan tersebut, menurutnya adalah agar dapat membantu menangani kadar penghasilan asid lemak trans oleh industri makanan tempatan.

“Ia boleh ditetapkan dengan had kandungan asid lemak dalam minyak dan lemak makanan tidak melebihi daripada 0.5 gram per 100 milimeter cecair atau 100 gram pepejal.

“Sementara itu, tidak melebihi 0.1 gram per 100 milimeter cecair atau 100 gram pepejal dalam kandungan makanan lain,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/5/2023

- Advertisement -