Mawar berlalu, Guam sengsara

- Advertisement -

Sebahagian besar wilayah Guam di Pasifik Barat Amerika Syarikat (AS), terputus bekalan elektrik dan air selepas Taufan Mawar yang membawa angin kencang dan hujan lebat melanda pulau itu. Namun, tiada kematian atau kecederaan serius dilaporkan.

- Advertisement -

Menurut media tempatan dan pihak berkuasa Guam, penduduk Guam diarah mendidihkan air sehingga diberitahu kelak ketika pekerja membaiki generator yang rosak akibat taufan itu.

Taufan dengan angin selaju angin 241 kilometer sejam memusnahkan talian elektrik dan pokok, menyebabkan bekalan elektrik terputus secara meluas di wilayah itu, antara Kepulauan Mariana yang terpencil, kira-kira 6,000 batu di barat Los Angeles dan 2,500 batu di timur Filipina.

Pihak berkuasa Guam dalam catatan media sosial menyatakan bahawa pekerja berusaha memulihkan tenaga elektrik dengan keutamaan kepada infrastruktur kritikal seperti hospital dan kemudahan kumbahan, diikuti rumah dan premis perniagaan.

Petang Rabu lalu, kira-kira 51,000 rumah dan premis perniagaan di pulau itu terputus bekalan elektrik, kata syarikat bekalan elektrik.

Keadaan sebuah pusat peranginan di Guam ketika dilanda Taufan Mawar

Tiada seorang pun daripada 170,000 orang penduduk Guam terbunuh atau mengalami kecederaan serius dalam taufan itu. Kira-kira 1,000 orang berpindah ke pusat perlindungan di seluruh pulau itu, kata Pihak Berkuasa Keselamatan Dalam Negeri Guam.

“Saya sangat gembira kami selamat. Kami telah mengharungi taufan ini. Yang paling teruk telah berlalu,” kata Gabenor Lou Leon Guerrero dalam mesej video kepada penduduk pulau itu, termasuk kira-kira 10,000 anggota tentera AS yang bekerja di pelbagai pangkalan AS.

Imej yang disiarkan di media sosial menunjukkan jalan dinaiki air, pokok tumbang dan serpihan bertaburan di halaman rumah.

Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan AS menyatakan bahawa Taufan Mawar, antara ribut paling kuat dalam beberapa dekad yang melanda pulau itu, dikesan di utara Guam awal Khamis, bergerak ke barat laut pada kelajuan lapan batu sejam yang perlahan, membawa hujan sehingga lima sentimeter sejam semalaman.

Kelajuan angin meletakkan taufan itu dalam Kategori 4, kedua terkuat mengikut skala Angin Taufan Saffir-Simpson. Selepas melepasi pulau itu dan bergerak ke laut, ribut itu bertambah kuat ke tahap taufan super. – REUTERS

- Advertisement -