RUU Pencetakan Teks Al-Quran: Kewajaran kerajaan dipersoal

Ahmad Yahaya
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Senator Dato’ Ahmad Yahaya (PN-Pokok Sena) mempersoalkan kewajaran kerajaan melaksanakan Rang Undang-Undang (RUU) Pencetakan Teks Al-Quran (Pindaan) 2023.

Beliau berkata, langkah itu dibuat ketika kebimbangan orang ramai terhadap tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menarik balik rayuan terhadap larangan penggunaan kalimah Allah sedang memuncak ketika ini.

- Advertisement -

Menurutnya lagi, melalui pindaan tersebut, kuasa lebih luas diberikan kepada Lembaga Pengawalan dan Perlesenan Percetakan al-Quran (LPPPQ) bagi mengetatkan lagi aktiviti itu dalam negara.

“Saya ingin tegaskan bahawa kita setuju teks al-Quran dipelihara dengan baik, cuma lebih utama maksud setiap kalimah (dalam) al-Quran itu juga wajib dipelihara sebaik mungkin.

“Saya tegaskan kerajaan madani)  ini benar-benar gagal… jika kalimah Allah yang ada dalam al-Quran tidak mampu dipelihara dan dipertahankan sebaiknya oleh kerajaan sekarang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada sesi perbahasan RUU Pencetakan Teks Al-Quran 2023 di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat itu berkata, tindakan itu untuk menaikkan penalti serta hukuman penjara bagi kesalahan mencetak atau menerbitkan teks al-Quran yang tidak diperakui LPPPQ.

“Ia akan menyaksikan peningkatan jumlah penalti maksimum daripada RM10,000 kepada RM50,000, manakala hukuman maksimum penjara pula daripada tiga tahun kepada lima tahun,” jelasnya.

Beliau berkata, keutamaan sekarang adalah untuk pastikan siapa dalang yang berusaha untuk pastikan orang bukan Islam boleh menggunakan kalimah sangat penting bagi agama Islam.

“Persoalan utama ketika ini adakah terdapat desakan di sebalik tabir dalam isu ini, apa yang jelas kerajaan gagal mempertahankan aspirasi umat Islam dalam isu ini.

“Teks al-Quran tidak lari daripada apa yang kita bahaskan kerana di dalamnya terdapat kalimah allah yang sedang kita bincangkan sekarang ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/5/2023

- Advertisement -