Isu kalimah Allah hangat di Dewan Rakyat hari ini

Ahmad Yahaya
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Isu kalimah Allah hari ini menjalar  ke Dewan Rakyat setelah Rang Undang-Undang (RUU) Akta Percetakan Al-Quran yang dibentang Timbalan Menteri Dalam Negeri (KDN), Dato’ Dr Shamsul Anuar Nasarah dibahas.

Kesempatan itu dimanfaatkan sebahagian besar ahli parlimen Perikatan Nasional (PN) dengan membangkitkan semula isu tersebut.

- Advertisement -

Mereka melahirkan rasa kesal terhadap Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang menarik balik rayuan penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan agama Kristian di Mahkamah Rayuan.

Malah, hanya ahli parlimen pembangkang yang serius membahas Rang Undang-Undang (RUU) tersebut termasuk Senator Dato’ Ahmad Yahaya (PN-Pokok Sena), Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN-Sik), Dato’ Ahmad Marzuk Shaary (PN-Tumpat), Wan Hassan Mohd Ramli (PN-Dungun), Dato’ Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat) dan Dato’ Seri Shahidan Kassim (PN-Arau).

Ahmad ketika membahas RUU tersebut berkata, kalimah Allah penting kerana perkataan itu disebut begitu banyak dalam al Quran.

Malangnya kata beliau perkataan Allah yang khusus untuk orang Islam dibenarkan oleh Mahkamah Tinggi untuk penerbitan Kristian bagi tujuan pembelajaran.

Oleh itu katanya tindakan kerajaan PN sebelum ini membuat rayuan ke Mahkamah Rayuan bagi menyemakkan semula keputusan Mahkamah Tinggi sepatutnya diteruskan kerajaan sekarang.

“Namun kerajaan hari ini melalui nota kabinet menghantar surat menarik balik rayuan tersebut tanpa mengadakan libat urus dengan pihak berkaitan,” katanya ketika membahas RUU tersebut.

Yahaya berkata, langkah kerajaan Madani menarik rayuan tersebut dianggap begitu tempang tanpa mengadakan libat urus dengan pihak yang berkaitan.

Bagaimanapun Timbalan Speaker, Dato’ Ramli Mohd Noor tidak membenarkan isu tersebut dilanjutkan kerana menganggap sebagai menyimpang daripada tajuk pindaan RUU yang akan dibuat.

Namun isu sama turut disentuh Ahmad Marzuk, Wan Hassan dan Shahidan yang menyifatkan kalimah Allah penting dan perlu dipertahankan.

Pada petang ini pihak kerajaan dijadualkan akan menggulung perbahasan tersebut. Sidang Parlimen Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Parlimen Ke-15 bermula hari ini. – HARAKAHDAILY 22/5/2023

- Advertisement -