Kalimah Allah: Apa dasar dipertahankan PM?

- Advertisement -

YAB Perdana Menteri melalui beberapa kenyataan umum, dalam mempertahankan pendirian Kerajaan Madani untuk menarik balik rayuan dalam kes Kalimah Allah (kes Jill Ireland yang diputuskan pada 17.3.2021) menyifatkan bahawa adalah ‘tidak cerdik untuk meneruskan rayuan dalam keadaan Kerajaan sudah mengetahui tiada kes untuk menang’. Dan dalam ulasan yang lain YAB Perdana Menteri menegaskan bahawa dasar Kerajaan berkenaan penggunaan kalimah Allah oleh penganut Kristian adalah tidak berubah sejak 1986, walau Kementerian Dalam Negeri dan Kerajaan Madani telah bertindak menarik balik rayuan pada 18.4.2023.

Umum mengetahui bahawa Keputusan Dasar yang dibuat oleh Kabinet pada 19.5.1986 telah dijelmakan melalui Pekeliling atau Garis Panduan Kementerian Dalam Negeri berkaitan Larangan Penggunaan 4 Istilah atau Perkataan (Allah – Kaabah – Solat – Baitullah) bertarikh 5.12.1986 (‘Pekeliling KDN  1986’), untuk dikuatkuasakan sebagai undang-undang di bawah peruntukan Seksyen 9(1) Akta 301.

Namun pada 17.3.2021, YA Hakim Dato’ Nor Bee binti Ariffin dalam kes Jill Ireland telah memutuskan bahawa Garis Panduan atau Pekeliling Kementerian Dalam Negeri bertarikh 5.12.1986 tersebut adalah terbatal dan tidak sah sebagaimana petikan berikut:

[130]  In the premises, I hold that the applicant is entitled to the declaration sought that the impugned Directive is invalid. In this case, an error in law had occurred when the respondents had treated the impugned Directive as being validly made under Act 301 when it was not justified or authorized by any provision of the said Act, and in allowing its enforcement under section 9 (1) of the same Act.

Memandangkan Mahkamah Tinggi telah membatalkan Pekeliling KDN tahun 1986 tersebut, yang merupakan intipati kepada Keputusan Dasar Kerajaan yang diputuskan pada 19.5.1986, dan dengan tindakan terburu-buru dan secara tersembunyi Kementerian Dalam Negeri menarik balik rayuan pada 18.4.2023, maka secara efektifnya Kerajaan Madani telah menerima dan mengesahkan keputusan Mahkamah Tinggi tersebut. Justeru pada ketika ini, keputusan Mahkamah Tinggi berkenaan adalah bersifat muktamad (final) kerana tiada rayuan ke Mahkamah atasan untuk menyemak semula keputusan Mahkamah Tinggi. 

Implikasi yang jelas dari penarikan balik rayuan tersebut, adalah bahawa Pekeliling KDN 1986 telah tidak wujud dan Keputusan Dasar Kabinet pada 19.5.1986 juga secara relatifnya terbatal atau sekurang-kurangnya tidak mempunyai kuatkuasa undang-undang.

Justeru dasar apa yang sedang dipertahankan YAB Perdana Menteri berkaitan isu Kalimah Allah? Adakah mempertahankan dasar yang tidak wujud dan telah dibatalkan oleh mahkamah?

Oleh yang demikian, disebabkan kelompangan dasar berkenaan isu Kalimah Allah pada masa kini, LUHAM mendesak Kerajaan Madani dengan serta-merta menggubalkan satu dasar baharu dan Pekeliling baru yang mirip Pekeliling KDN 1986 atau lebih ketat dari itu, demi kepentingan Islam dan ummah di negara ini.

LUHAM kesal dengan kenyataan YAB Perdana Menteri dalam isu Kalimah Allah ini, yang kelihatan seolah-olah telah tidak dinasihati dengan sewajarnya oleh penasihat undang-undang yang kompeten.

“Malaysia Sejahtera”

WAN ROHIMI WAN DAUD
Pengerusi,
Lujnah Undang-undang & Hak Asasi Manusia (LUHAM), PAS Pusat.
22 Mei 2023 | 2 Zulkaedah 1444 – HARAKAHDAILY 22/5/2023

- Advertisement -
- Advertisement -