Kesan perang Ukraine terhadap pesawat pejuang Malaysia

Ikmal Hisham Abdul Aziz
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tempoh perang di Ukraine yang kemungkinan berlarutan akan memberikan kesan kepada alat ganti pesawat pejuang Malaysia jenis Sukhoi SU-30 MKM.

Dato’ Sri Ikmal Hisham Abdul Aziz (PN-Tanah Merah) berkata, kerajaan perlu peka terhadap alat ganti pesawat pejuang tersebut untuk ia agar sentiasa dapat digunakan.

- Advertisement -

“Dalam jawapan yang diberikan tadi, kerajaan akan menggunakan alat ganti sedia ada bagi mengekalkan penggunaan pesawat tersebut.

“Namun, adakah ia dengan mengambil alat ganti daripada pesawat pejuang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang lain?” katanya ketika mengajukan soalan tambahan pada sesi pertanyaan jawab lisan di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Menjawab soalan itu, Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, kerajaan tidak akan melakukan kaedah sedemikian dalam mengekalkan penggunaan pesawat pejuang Sukhoi SU-30 MKM.

Beliau menegaskan bahawa kerajaan akan melantik syarikat tempatan bagi menyelenggara pesawat tersebut.

“TUDM mempunyai keupayaan dalam menyelenggara pesawat tersebut lebih-lebih lagi apabila mempunyai pengalaman luas dalam bekerjasama dengan syarikat-syarikat swasta.

“Maka, TUDM dapat mengekalkan pesawat tersebut dalam jangka dua tahun tanpa memerlukan bantuan luar dan sekalipun memerlukan bantuan alat ganti, maka boleh mendapatkannya dari negara seperti India,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/5/2023

- Advertisement -