Pilihan raya Turkiye: Persaingan sengit Erdogan, Kilicdaroglu

Recep Tayyip Erdogan (kiri) menghadapi saingan sengit daripada calon pembangkang utama, Kemal Kilicdaroglu Pilihan Raya Turkiye 2023. (FOTO: CNN)
- Advertisement -

ISTANBUL: Keputusan awal pilihan raya Turkiye menunjukkan persaingan sengit antara Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan dan pesaing utamanya, Kemal Kilicdaroglu.

Agensi berita yang dikendalikan kerajaan negara itu, Anadolu Agency melaporkan pada Ahad (14 Mei) bahawa unjuran berdasarkan 97.95 peratus undi yang dikira menunjukkan Erdogan telah meraih 49.34 peratus undi, berbanding 44.99 peratus yang dikumpul Kilicdaroglu selaku calon pembangkang utama.

- Advertisement -

Calon ketiga, Sinan Ogan hanya meraih 5.28 perundi, menurut laporan itu lagi, menjadikan pilihan raya kali ini menjadi cabaran terbesar buat Erdogan untuk mengekalkan kedudukannya sebagai Presiden Turkiye.

Erdogan sebelum ini berdepan masalah ekonomi dan kritikan bahawa kesan gempa bumi dahsyat yang melanda Turkiye pada 6 Feb 2023 itu itu diburukkan lagi dengan kawalan pembinaan bangunan yang lemah dan usaha menyelamat yang tidak betul.

Bilangan undi daripada lebih 64  juta rakyat Turkiye yang layak mengundi masih dikira enam jam selepas pusat mengundi ditutup di seluruh negara.

Buat pertama kalinya, puak pembangkang Turkiye telah bergabung untuk menampilkan calon tunggal, Kilicdaroglu, yang mewakili gabungan pilihan raya enam parti pembangkang negara itu.

Terdahulu pada Ahad, Datuk Bandar Ankara, Mansur Yavas, yang merupakan calon naib presiden bagi blok pembangkang utama Nation Alliance, menolak keputusan pusingan pertama pilihan raya itu yang dilaporkan Anadolu Agency, dengan mengatakan agensi itu tidak boleh dipercayai. 

Beliau menambah bahawa data pembangkang menunjukkan Kilicdaroglu yang sebenarnya mendahului Erdogan.

Pengarah Urusan Pusat Penyelidikan Istanbul, Can Selcuki memberitahu CNN bahawa persaingan antara kedua-dua Erdogan dan Kilicdaroglu kemungkinan besar tidak akan berakhir pada pusingan pertama pilihan raya itu.

Calon pilihan raya mesti memenangi lebih 50 peratus menjelang malam Ahad untuk sah dipilih sebagai Presiden baharu Turkiye dan jika tidak, ia memerlukan kepada  pusingan kedua pada 28 Me ini.

Bercakap di ibu pejabat Parti Keadilan dan Pembangunan (AK) yang memerintah di Ankara, Erdogan mendakwa berada di hadapan mengatasi Kilicdaroglu dalam menguasai peratus undi.

“Kami percaya kami akan menamatkan pusingan ini (pertama) dengan lebih 50 peratus undian,” katanya.

Kilicdaroglu pula ketika membuat ucapan yang disiarkan di televisyen di ibu pejabat partinya pada awal hari ini, Isnin (15 Mei) berkata, beliau mengalu-alukan prospek pusingan kedua pilihan raya itu

“Kami benar-benar akan memenangi pilihan raya ini pada pusingan kedua. Semua orang akan melihatnya kelak,” tegasnya.

Kilicdaroglu sebelum ini menuduh Parti Keadilan dan Pembangunan (AK) pimpinan Erdogan menuntut pengiraan semula dan menangguhkan keputusan di kubu kuat pembangkang, termasuk di Ankara dan Istanbul.

Dalam pada itu, selepas mengundi di Istanbul, Erdogan memberitahu wartawan bahawa beliau berdoa kepada Tuhan untuk masa depan yang lebih baik buat demokrasi Turkiye.

Terdahulu, Erdogan mengakhiri kempen pilihan rayanya pada malam Sabtu (13 Mei) dengan berdoa di  masjid dan tapak bersejarah utama di Istanbul, Hagia Sophia. Sebaliknya, Kilicdaroglu melawat makam Mustafa Kemal Ataturk, pengasas Turkiye moden dan sekular.

Erdogan sebelum ini telah memuji pencapaian parti pemerintahannya yang lama, berkempen atas platform kestabilan, dasar luar bebas dan terus memperkukuh industri pertahanan Turkiye. Baru-baru ini, beliau menaikkan gaji kakitangan kerajaan sebanyak 45 peratus dan menurunkan umur persaraan.

Sepanjang dua tahun kebelakangan ini, mata wang Turkiye bagaimanapun telah menjunam dan harga barangan telah melonjak, menyebabkan krisis kos sara hidup yang telah menjejaskan asas sokongan kelas pekerja konservatif Erdogan.

Apabila gempa bumi ganas pada 6 Feb itu memusnahkan sebahagian besar bahagian tenggara Turki, gegaran susulan melanda keutuan pengaruh politik Erdogan. 

Pengkritik menghukumnya kerana usaha menyelamat yang gagal dan kawalan bangunan yang lemah yang dipengerusikan oleh parti AK selama dua dekad.

Dalam beberapa minggu selepas gempa bumi, kerajaan Turkiye telah mengumpulkan berpuluh-puluh kontraktor, pemeriksa pembinaan dan pengurus projek kerana melanggar peraturan bangunan. 

Pengkritik bagaimanapun melihat tindakan itu tidak lebih sebagai ‘kambing hitam’ untuk menutup kelemahan parti AK yang sebelum ini juga  juga telah memohon maaf atas ‘kesilapan’ yang dilakukan sejurus selepas bencana itu melanda Turkiye.

Gempa bumi itu meragut lebih 51,000 nyawa di Turkiye dan negara jiran Syria. Beribu-ribu  individu masih tidak dapat dikesan, dengan kubur yang tidak bertanda menghiasi kawasan desa tenggara Turki.

Pada Khamis (11 Mei) lali, pengaruh Kilicdaroglu dirangsang lagi dengan penarikan diri seorang lagi calon pilihan raya, Muharrem Ince yang mempunyai meraih bilangan undi rendah; dan beberapa tokoh pembangkang bimbang dia akan memecahbelahkan undi anti-Erdogan.

Turkiye mengadakan pilihan raya setiap lima tahun, dengan lebih 1.8 juta pengundi yang tinggal di luar negara sudah membuang undi pada 17 April lalu, lapor akhbar Turki Daily Sabah pada Rabu (10 Mei).

Ketua Majlis Pilihan Raya Tertinggi (YSK) Ahmet Yener dalam kenyataan pada bulan April lalu bahawa sekurang-kurangnya satu juta pengundi di zon yang dilanda gempa bumi dijangka tidak mengundi pada tahun ini. – HARAKAHDAILY 15/5/2023

- Advertisement -