Harapan Arsenal kian pudar, Man City bakal juara

Julio Enciso menjaringkan gol pertama Brighton
- Advertisement -

Impian Arsenal untuk menjuarai Liga Perdana hancur apabila dibelasah 3-0 di tempat sendiri oleh Brighton and Hove Albion yang mengejar tempat untuk layak ke kejuaraan Eropah.

Kemenangan di Manchester City di Everton dalam perlawanan sebelum itu meletakkan penyandang juara mendahului empat mata, manakala Arsenal yang memimpin Liga Perdana sejak awal musim, tahu hanya kemenangan akan memberi peluang untuk terus bersaing merebut takhta liga.

- Advertisement -

Malangnya Arsenal mempamerkan aksi sebaliknya menentang kelab pantai selatan England yang licik itu dan dikalahkan selepas rehat apabila Julio Enciso, Deniz Undav dan Pervis Estupinan, menjaringkan gol untuk pasukan Roberto De Zerbi, meletakkan City di ambang bergelar juara.

Keputusan itu juga menaikkan Brighton ke tempat keenam dengan kelebihan jumlah perlawanan berbanding pasukan di sekeliling mereka.

Bekas penyerang Brighton yang kini mewakili Arsenal, Leandro Trossard, merembat palang pada babak pertama, tetapi Arsenal kelihatan tidak bermaya selepas Enciso menjaringkan gol pada minit ke-51 dan kecewa apabila Undav menambah jaringan pada minit ke-86.

Estupinan melengkapkan kesengsaraan Arsenal pada masa kecederaan untuk menggembirakan penyokong Brighton yang mungkin akan menyaksikan kelab itu bersaing di peringkat Eropah tidak lama lagi.

Kekalahan kelima liga musim ini menyebabkan Arsenal kekal 81 mata dengan baki dua perlawanan, manakala City mempunyai 85 mata dengan tiga baki perlawanan. Ini bermakna kemenangan buat pasukan Pep Guardiola, Ahad depan menentang Chelsea akan melengkapkan gelaran kelima City dalam enam musim.

City juga boleh memastikan kejuaraan lebih awal jika Arsenal tewas kepada Nottingham Forest, hujung minggu ini.

Brighton mempunyai 58 mata dengan empat perlawanan masih berbaki.

“Ya, sejujurnya, ia kelihatan sukar sekarang, kami perlu realistik. Saya tidak fikir City akan melakukan terlalu banyak kesilapan sekarang,” kata kapten Arsenal, Martin Odegaard.

“Ia bukan perasaan yang baik pada masa ini. Cara kami bermain, terutama pada separuh masa kedua, saya tidak tahu apa yang berlaku secara jujur. Rasanya seperti tiada harapan sekarang.”

Sebahagian penyokong Arsenal meninggalkan Stadium Emirates selepas mendengar kemenangan awal Manchester City 3-0 di Everton, kemenangan liga ke-11 berturut-turut untuk City. – REUTERS

- Advertisement -