Tewas pilihan raya tidak halang pusat khidmat beroperasi

- Advertisement -

SELAYANG: Biarpun PAS gagal mempertahankan kerusi Dun Templer pada Pilihan Raya Umum (PRU) lepas, namun Pusat Khidmat Masyarakat tetap beroperasi seperti biasa.

- Advertisement -

Pusat Khidmat tersebut dikendalikan bekas Adun Templer Zaidy Abdul Talib sejak 2013 sehingga sekarang.

Katanya, Pusat Khidmat tersebut tidak pernah ditutup biarpun beliau tidak lagi menjadi wakil rakyat di kawasan berkenaan.

Malah kata beliau peranan Pusat Khidmat sekarang semakin rancak bagi membantu masyarakat Selayang yang memerlukan bantuan.

“Situasi itu begitu terserlah semalam di mana hampir 3,000 pengunjung hadir ke majlis jamuan Hari Raya Aidilfitri anjuran PAS dan Perikatan Nasional.

“Biarpun hujan lebat melanda dua tiga hari ini, namun ia tidak mematahkan semangat penganjuran jamuan Hari Raya Aidilfitri diadakan pada 12 hingga 14 Mei yang dianjurkan di beberapa lokasi,” katanya di sini.

Program itu yang diadakan selama tiga hari di lokasi berbeza mendapat sambutan menggalakkan, dihadiri rakyat pelbagai peringkat umur, agama dan keturunan.

Golongan kanak-kanak paling gembira apabila mendapat sumbangan duit raya.

Zaidy yang juga Yang Dipertua PAS Selayang berkata, pihaknya sentiasa sedia memberi khidmat kepada seluruh warga Selayang tanpa mengira masa dan ketika.

“Kami menggunakan pendekatan #SelangorBaharu dan #Change4Selangor
dengan mendekati masyarakat sejak dahulu sehingga sekarang,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/5/2023

- Advertisement -