Bersara umur 65 tahun: Malaysia sudah bersedia?

Ahmad Fauzi Mustafa
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Adakah Malaysia pada masa ini telah bersedia untuk meningkatkan usia had persaraan sehingga 65 tahun?

Penganalisis Sosio-ekonomi, Pusat Penyelidikan Strategik, Ahmad Fauzi Mustafa yang menimbulkan persoalan tersebut berkata,  sepertimana yang diketahui, Malaysia pada masa ini masih berada dalam proses pemulihan ekonomi yang sedang giat dilaksanakan, termasuk menarik minat pelaburan langsung asing (FDI) dan pelaburan domestik untuk kembali kukuh. 

- Advertisement -

“Setidak-tidaknya biarlah pertumbuhan ekonomi negara mencapai sekitar 4.5 peratus atau lebih 5 peratus bagi tempoh dua tiga tahun ini dalam menjayakan dasar pembangunan ekonomi menerusi pentadbiran kerajaan yang stabil dan politik yang seimbang.

“Memang benar pelbagai perkara perlu diambil perkiraan oleh pihak berwajib, yang mana dahulunya had persaraan pada umur 56 tahun dinaikkkan kepada umur  58 tahun dan pada masa sekarang pula pada 60 tahun,” tegasnya HarakahDaily

Menurut beliau, dalam tempoh 20 tahun sehingga kini, Malaysia pernah melalui proses umur persaraan pada usia lanjut sebanyak tiga kali dengan pelbagai perdebatan dan polemik dilangsungkan yang akhirnya ia berjalan lancar dan diterima baik oleh pelbagai lapisan pekerja demi kelangsungan kehidupan, ekonomi kendiri dan kesejahteraan kesihatan.

“Perubahan pertama tempoh persaraan telah dilaksanakan oleh pihak kerajaan pada tahun 2001, yang mana umur persaraan kakitangan awam dilanjutkan daripada usia 55 tahun ke 56 tahun. 

“Selepas itu pada tahun 2008, perubahan kali kedua had usia persaraan telah dilanjutkan daripada usia 56 tahun ke 58 tahun. 

“Seterusnya, perubahan persaraan kali ketiga telah diumumkan pada tahun 2012 iaitu had umur persaraan dilanjutkan pula daripada usia 58 tahun ke 60 tahun,” jelasnya. 

Dalam pada itu, katanya, lagi timbul pula persoalan yang bermain di pemikiran rakyat sekarang iaitu apakah tahap kecenderungan penerimaan cadangan peningkatan had umur persaraan dari 60 ke 65 tahun dan apakah faktor-faktor kecenderungan penerimaan cadangan peningkatan had umur persaraan itu?

“Kegiatan ekonomi Malaysia terbahagi kepada tiga sektor iaitu sektor utama merangkumi sektor pertanian, perhutanan, perikanan, penternakan serta perlombongan dan kuari. 

“Sementara, sektor kedua bersifat pemprosesan daripada bahan mentah menjadi barang siap atau separuh siap yang terdiri daripada sektor perkilangan dan sektor pembinaan. 

“Akhir sekali, sektor yang ketiga adalah sektor yang terlibat dengan aktiviti yang mengeluarkan perkhidmatan seperti pengeluaran, perkhidmatan awam, subsektor perdagangan borong dan runcit, maklumat dan komunikasi, pengangkutan dan penyimpanan, makanan dan minuman, profesional, kesihatan swasta, pendidikan swasta, penginapan, kesenian, hiburan dan rekreasi, ejen hartanah, pentadbiran dan khidmat sokongan serta perkhidmatan lain,” kongsinya.

Beliau turut menjelaskan bahawa ruang lebar dalam sektor pekerjaan sangat besar kerana ia berkait rapat dalam pergerakan ekonomi Malaysia. 

Namun begitu, ujarnya andainya had persaraan dilanjutkan di negara ini, pihak kerajaan dalam sektor awam contohnya akan menambah kos nilai dari soal pencen bagi jangka masa panjang dan seterusnya akan memberi kesan kepada pengurusan belanjawan negara.

“Terdapat sesetengah pihak yang berasakan terbeban dengan tugas yang penuh dan banyak serta sistem yang sering bertukar-tukar sehingga membuatkan mereka perlu sentiasa peka dengan keadaan semasa.

“Bagi sesetengah individu yang sudah berada dalam lingkungan usia melebihi 60 tahun yang masih bekerja dalam sektor awam secara rasionalnya tidak mampu untuk menjalankan pekerjaan dengan sistematik di samping berdepan dengan beberapa halangan-halangan yang berkaitan,” jelasnya. 

Namun begitu, menurutnya lagi, ada juga yang turut mempertahankan bahawa usia yang sudah bekerja lama dalam organisasi dikatakan mempunyai kelebihan tinggi dalam pengetahuan dan dapat meningkatkan kecekapan dan kemajuan meskipun usia melebihi 60 tahun.

Perkara ini telah dibandingkan dengan golongan yang muda dan mula berjinak-jinak dalam bahagian kerja mereka bahawa mereka berpengetahuan rendah dalam pekerjaan dan tidak banyak mengharungi cabaran pekerja berusia melaluinya.

“Oleh itu, adakah ia adil dari perspektif sedemikian rupa kerana pekerja yang muda akan mempersoalkan tahap kesihatan pekerja lama yang mungkin tidak lagi produktif dan kebiasaannya, peratusan kesihatan yang rendah adalah faktor utama yang menjadi kekerapa alasan untuk bersara awal?” soalnya.

Namun demikian, beliau turut mencadangkan kerajaan pada masa sekarang perlu mencari formula yang terbaik untuk memberikan satu pilihan kepada pekerja dan majikan untuk memanjang hayat tempoh untuk bekerja lagi.

“Mungkin ada kewajaran syarat bergantung kepada keupayaan pekerja itu sendiri, kesejahteraan kesihatan, kedudukan ekonomi, keperluan kehidupan semasa serta keupayaan majikan dan organisasi.

“Pada masa ini, kemajuan teknologi juga boleh mengimbang keperluan semasa pekerja dan syarikat dari segi kos tenaga, kewangan, keuntungan dan keupayaan melipatgandakan sumbangan kepada ekonomi masyarakat dan negara,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/4/2023

- Advertisement -