Ramadan bulan amalan pemberian infaq

- Advertisement -

Ramadan merupakan bulan yang dimuliakan Allah SWT. Sepanjang bulan yang mulia ini, Allah SWT menggalakkan umat Islam untuk memperbanyakkan ibadah dan juga Allah SWT menggandakan pahala hamba-hamba-Nya.

Oleh kerana itu, umat Islam di seluruh dunia berlumba-lumba untuk menghidupkan bulan Ramadan dengan pelbagai ibadah. Selain berpuasa dan bersolat, amalan yang digalakkan untuk kita beramal dengannya adalah amalan berinfaq.  

- Advertisement -

Melalui sebuah hadis Nabi SAW, Nabi disifatkan sebagai seorang yang pemurah atau dermawan, namun waktu puncak baginda menjadi pemurah adalah ketika kemunculan bulan Ramadan (Riwayat al-Bukhari).

Di dalam surah al-Baqarah ayat 261-274, Allah SWT memberi beberapa panduan kepada kita dalam berinfaq. 

Mari kita telusuri bersama :

1. Allah menggandakan pahala mereka yang berinfaq.

Firman Allah SWT: ”(Derma) Orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah SWT ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya.”  (al-Baqarah: 261)

Menerusi  ayat 261 surah al-Baqarah, Allah SWT memberikan khabar gembira buat mereka yang berinfaq dengan gandaan pahala yang banyak.

Dalam ayat tersebut, Allah SWT membandingkan bahawa dengan setiap infaq yang kita berikan ia ibarat sebiji benih yang menerbitkan tujuh tangkai, dan tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji.

Dengan kiraan yang mudah, jika kita memberi infaq satu ringgit, Allah SWT memberi pahala seolah kita berinfaq RM700. Dalam pada itu, Allah SWT boleh menggandakan lebih daripada itu.

2. Larangan ungkit mengungkit dan sifat riya’ di dalam berinfaq.

Dalam ayat 262 – 264, Allah SWT memberi peringatan kepada mereka yang berinfaq agar menjauhi tiga sikap iaitu ungkit-mengungkit, menyakiti hati penerima infaq dan riya’ (riak). 

Sikap mengungkit dan menyakitkan hati penerima infaq menunjukkan kesombongan seseorang kerana ia berasa dirinya lebih baik berbanding penerima sedekah. Tambahan perbuatan ini hanya akan membuat diri penerima infaq berasa terhina. 

Adakah pemberi infaq lupa bahawa segala harta yang dimiliki itu adalah kurniaan Allah SWT dan tentang harta yang dikurniakan Allah SWT  ini terdapat sebahagian daripadanya adalah hak orang-orang miskin. 

Justeru,hendaklah seseorang itu bersikap rendah diri ketika berinfaq. Diriwayatkan bahawa golongan salaf terdahulu bilamana mereka melihat peminta sedekah mereka berkata: “Selamat datang kepada orang yang akan memindahkan harta kami dari kehidupan dunia kepada kehidupan akhirat.” 

Kata-kata ini menunjukkan bagaimana umat islam terdahulu memahami hakikat infaq. Sikap riya’ pula adalah keadaan di mana seseorang itu memberi infaq dengan tujuan untuk menunjuk-nunjuk kepada orang lain. Bagi golongan ini, pujian dan habuan dunia adalah lebih besar di mata mereka berbanding keampunan dan keredhaan Allah SWT.

3. Ikhlas dalam berinfaq

Menerusi  ayat 265 surah al-Baqarah, Allah SWT memuji mereka yang ikhlas dalam berinfaq. Allah SWT menjadikan infaq mereka ibarat satu pelaburan yang bakal mendatangkan pulangan yang teramat lumayan di akhirat kelak.

4. Tidak takut kepada kefakiran dalam berinfaq

Dalam  ayat 267 surah al-Baqarah, Allah SWT menekankan bahawa syaitan menakutkan umat Islam dengan kefakiran jika mereka berinfaq. Kesannya adalah segelintir umat Islam akan berkira-kira dalam berinfaq bahkan akan menahan diri daripada berinfaq kerana takut kepada kefakiran. 

Golongan ini tidak menyedari bahawa Allah SAW pemberi rezeki dan Allah menjanjikan keampunan dan juga limpahan rezeki buat mereka yang berinfaq pada jalan Allah SWT.

Selanjutnya, Allah SWT berfirman: : “Dan apa sahaja yang kamu infaqkan maka Allah akan menggantikannya, dan Dialah jua sebaik-baik Pemberi rezeki” (Saba’: 39). Nabi SAW pula bersabda: “Tidak berkurang harta kerana amalan bersedekah.” (Riwayat Muslim)

5. Berinfaq dengan harta yang baik

Di dalam ayat 268 surah al-Baqarah, Allah SWT memerintahkan orang beriman agar berinfaq dengan hasil yang baik dan bukannya hasil yang tidak disukai.

Sebagai contoh, jika seseorang bersedekah buah, maka hendaklah dia memilih buah-buahan yang elok dan bukannya yang hampir busuk ataupun rosak.

Jika disedekahkan makanan pula, maka pilihlah makanan yang elok dan bukannya yang hampir basi. Ingatlah kepada kisah Qabil yang memberi korban dari hasil kebun yang tidak elok lalu korbannya itu tidak diterima Allah SWT (Ibn Kathir, 1999).

Ingatlah jua kepada firman Allah: “Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai hakikat kebajikan dan kebaktian yang sempurna sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi..” (Ali-Imran:92)

6. Menyedari bahawa Allah SWT Maha Melihat segala infaq hamba-Nya

Ayat 270 surah al-Baqarah mengingatkan kita bahawa Allah SWT Maha melihat segala amalan hamba-Nya.

Setiap infaq yang kita berikan adalah dalam pengetahuan Allah SWT. Allah akan memberikan balasan baik atas setiap sen yang kita dermakan.

Dengan menyedari hal ini, seorang hamba Allah akan lebih ikhlas dalam memberi infaq dan juga lebih mengharapkan keredhaan Allah SWT.

7. Berinfaq secara sembunyi itu adalah lebih baik

Ayat 271 surah al-Baqarah menerangkan bahawa perbuatan seseorang bersedekah secara sembunyi itu adalah lebih baik. Ini adalah kerana ia lebih menjamin keikhlasan berbanding mereka yang bersedekah secara terang-terangan. 

Golongan yang bersedekah secara sembunyi pula adalah termasuk dalam tujuh golongan yang beroleh naungan Allah SWT pada hari akhirat.

Nabi SAW bersabda: “Tujuh golongan yang akan mendapat naungan Allah SWT pada hari di mana tiada naungan melainkan naungan Allah… Seorang lelaki yang bersedekah dengan tangan kanannya dan dia menyembunyikannya, sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang disedekahkan tangan kanannya.” (Riwayat Bukhari)

8. Tidak menjadikan sikap atau status penerima sedekah penghalang kepada kita untuk memberi infaq

Pada suatu masa, Rasulullah SAW mengarahkan para sahabat agar menghadkan sedekah mereka hanya buat mereka yang beriman, namun perkara ini ditegur Allah SWT (Ibn Kathir, 1999). 

Dalam ayat 272, Allah menegaskan bahawa bukan menjadi kewajipan Rasul untuk memberi hidayah kepada orang kafir, kerana hidayah itu adalah milik Allah SWT. Rasul hanya diperintahkan untuk menyampaikan mesej Islam dengan jelas. 

Justeru, janganlah umat islam menjadikan sifat kufur sebagai penghalang kepada mereka untuk menghulurkan bantuan.  

Apabila umat islam berinfaq, mereka menunaikan tanggungjawab yang diamanahkan Allah SWT ke atas mereka tanpa melihat kepada sikap penerima sedekah. Moga dengan infaq yang diberikan, Allah SWT membuka hati penerima sedekah untuk berubah menjadi seorang yang lebih baik. 

Melalui sebuah hadis riwayat Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda: Seorang lelaki menyatakan niatnya untuk bersedekah, lalu dia keluar dengan bersedekah dan meletakkannya di tangan seorang perempuan yang berzina. 

Pada waktu pagi, orang ramai bercakap dan berkata: “Sedekahmu telah diberikan kepada perempuan yang berzina malam tadi. Dia (pemberi sedekah) berkata: Wahai Allah, bagi-Mu segala puji bagi seorang penzina.” 

Beliau kemudian sekali lagi menyatakan niatnya untuk bersedekah; maka dia keluar dengan membawa sedekah itu dan meletakkannya di tangan orang kaya. Pada waktu pagi orang ramai bercakap-cakap dan berkata: “Sedekah diberikan kepada orang kaya. Dia (pemberi sedekah) berkata: Ya Allah, bagi-Mu segala pujian bagi orang yang kaya.”  

Dia kemudian menyatakan niatnya untuk bersedekah, lalu dia keluar dengan bersedekah dan meletakkannya di tangan seorang pencuri. Pada waktu pagi, orang ramai bercakap dan berkata: “Sedekah diberikan kepada pencuri.”   

Maka (salah seorang) berkata: “Wahai Allah SWT, bagi-Mu segala puji (alangkah malangnya sedekah yang diberikan kepada) perempuan yang berzina, orang yang kaya dan pencuri! Maka datanglah (malaikat kepadanya) lalu dikatakan kepadanya: “Sedekahmu telah diterima. Adapun perempuan yang berzina (sedekah itu boleh menjadi sebab) dia menahan dirinya daripada zina.”   

Orang kaya pula mungkin mengambil pengajaran dan membelanjakan dari apa yang Allah SWT berikan kepadanya, dan pencuri pula boleh menahan diri daripada melakukan pencurian. (Riwayat Muslim).

9. Berusaha mencari golongan yang memerlukan

Di dalam ayat 273 surah al-Baqarah, Allah SWT menyentuh mengenai golongan yang menghadapi kesempitan dalam kehidupan namun mereka tidak meminta-minta kepada orang lain. 

Dalam hal ini, kita perlu lebih cakna terhadap ahli keluarga, saudara-mara, kenalan dan mereka yang tinggal berhampiran kita.

Jika ada dalam kalangan mereka yang susah, maka menjadi tanggungjawab kita untuk menghulurkan bantuan walaupun mereka tidak meminta. 

Ingatlah kepada hadis Nabi SAW: “Tidak sempurna keimanan seseorang terhadap diriku sesiapa yang tidur dalam keadaan kenyang sedang jirannya berada dalam kelaparan dan dia mengetahuinya”. (Riwayat al-Tabarani).

10. Sentiasa memberi infaq

Di dalam ayat 274 surah al-Baqarah, Allah SWT memuji golongan yang senantiasa memberi infaq pada setiap masa dan semua keadaan, baik pada waktu pagi mahupun malam, baik secara sembunyi mahupun terang-terangan.

Golongan ini tidak akan gentar terhadap apa yang bakal menemui mereka pada hari kiamat dan tidak pula mereka bersedih atas apa yang telah lalu.

Akhir kata, marilah kita mengambil peluang dalam bulan Ramadan yang mulia ini untuk kita memperbanyakkan amalan bersedekah.

Moga dengan infaq yang kita berikan, Allah SWT mengampunkan dosa-dosa kita yang lampau dan mengurniakan syurga di hari akhirat kelak. – HARAKAHDAILY 10/4/2023

(Dr Muhammad Arif Musa merupakan Ketua Program Pengajian al-Quran dan Multimedia, Fakulti Pengajian al-Quran dan Sunnah, Universiti Sains Malaysia)

- Advertisement -