Jho Low rancang derma kempen Obama 2012 – DiCaprio

Jho Low membiayai pembikinan filem lakonan Leonardo DiCaprio, The Wolf of Wall Street pada tahun 2013. (FOTO: New York Post)
- Advertisement -

WASHINGTON: Pelakon tersohor Hollywood, Leonardo DiCaprio memberitahu juri mahkamah Washington bahawa ahli perniagaan Malaysia dalam pelarian, Low Taek Jho atau Jho Low  merancang untuk menderma sehingga AS$30 juta bagi membantu kempen pemilihan semula Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama pada tahun 2012.

Bintang filem pecah panggung, Titanic itu dalam kenyataan di mahkamah berkenaan pada Isnin (3 Apr) berkata, Jho Low  memberitahunya tentang perkara tersebut  yang didakwa pendakwaraya merupakan sebahagian daripada operasi pengaruh asing yang tidak sah dari segi undang-undang AS, lapor Reuters.

- Advertisement -

“Ia adalah perbualan santai tentang parti yang dia (Jho Low) sokong,” kata DiCaprio, memberitahu juri bahawa Low berkata dia merancang untuk memberikan ‘derma dalam jumlah yang besar’ kepada Parti Demokrat yang dengan dengan nilai AS$20 hingga AS$30 juta’.

“Saya pada asasnya berkata”, ‘Wah, itu wang yang banyak,’” tambah DiCaprio.

Pemenang Oscar itu menjadi saksi dalam perbicaraan terhadap Prakazrel ‘Pras’ Michel dari kumpulan muzik hip-hop, Fugees, yang menghadapi tuduhan jenayah atas dakwaan  berhubung peranannya dalam kempen pengaruh asing yang ditujukan kepada pentadbiran Obama dan Donald Trump; yang mana Michel telah menafikan dakwaan tersebut.

Pendakwa raya mendakwa Michel yang hadir dalam perbincaraan di mahkamah pada Khamis (31 Mac) lalu atas sabit kesalahan menerima suapan wang haram sebanyak AS$100 juta daripada Jho Low.

DiCaprio adalah salah seorang daripada beberapa tokoh terkenal yang dikaitkan dengan Low, yang menghadapi pertuduhan jenayah persekutuan berasingan kerana didakwa menggelapkan AS$4.5 bilion daripada dana kekayaan negara 1MDB Malaysia.

Low yang diketahui membiayai beberapa selebriti terkenal Hollywood termasuk Paris Hilton, Kim Kardashian, Jamie Foxx, Busta Rhymes, Ludacris, Megan Fox dan Alicia Keys untuk menghadiri majlis anjurannya, menyokong yayasan amal DiCaprio dan membantu membiayai The Wolf of Wall Street, filem terbitan 2013, lakonan DiCaprio.

Prakazrel ‘Pras’ Michel (kiri) hadir di mahkamah Washington pada 31 Mac 2023 sabit dakwaan menerima suapan wang haram berjumlah AS$100 juta daripada Jho Low. (FOTO: People)

Jabatan Kehakiman AS pada 2018 mencapai penyelesaian sivil dengan syarikat penerbitan filem itu, yang merampas sebanyak AS$60 juta yang dipercayai dicuri daripada 1MDB. Sejak itu, DiCaprio telah  bekerjasama dengan kerajaan AS.

DiCaprio berjaya keluar masuk mahkamah pada Isnin tanpa dikesan oleh kru berita yang mengintai ketibaannya.

Pendakwa raya mendakwa Michel bersetuju untuk menyalurkan wang daripada Low ke dalam kempen Obama 2012 dan menyembunyikan sumber dana.

Undang-undang pilihan raya persekutuan melarang orang asing daripada menderma kepada kempen AS.

Pendakwaraya berkata Low  kemudian bekerja di belakang tabir dengan pihak lain untuk cuba memujuk pentadbiran Trump supaya berhenti menyiasat kes yang dihadapinya.

Dalam kenyataannya di mahkamah pada Isnin itu juga, DiCaprio memberitahu juri bahawa dia mengenali Michel sejak sekurang-kurangnya tahun 1990-an, ketika dia bertemu dengan Fugees di belakang pentas konsert kumpulan hip hop tersebut.

Sekeping gambar kabur tidak bertarikh yang sebelum ini tersebar menyaksikan Jho Low bergambar dengan Barack dan Michelle Obama. (FOTO: Puck.news)

Sebahagian besar keterangan DiCaprio tertumpu pada hubungannya dengan Low, yang mengadakan pesta mewah di atas bot dan di kelab-kelab malam yang menampilkan ramai bintang Hollywood termasuk model terkenal, Miranda Kerr dan Emily Ratajkowski. 

DiCaprio berkata dia terbang dengan jet peribadi Low bersama sekumpulan selebriti Hollywood untuk  satu malam bagi sambutan Tahun Baru dan terbang Australia dan Las Vegas, dalam apa yang dikatakannya adalah matlamat Low untuk menyambut Tahun Baru dua kali dalam satu malam.

DiCaprio berkata ketika pertama kali bertemu Low sekitar 2010, beliau melihat Low sebagai ‘suatu keajaiban dalam dunia perniagaan’.

DiCaprio berkata pasukan guamannya sendiri, firma luar dan studio menjalankan tiga siasatan ketekunan wajar berasingan sebelum mencapai perjanjian dengan Low untuk membiayai pembikinan filem The Wolf of Wall Street.

“Saya diberi lampu hijau daripada pasukan saya, serta studio, sebelum menerima pembiayaan daripada  Low untuk membiayai dalam penerbitan filem The Wolf of Wall Street,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/4/2023

- Advertisement -