Betulkan fakta, Ahli Parlimen Pendang diarah keluar dewan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen PERIKATAN NASIONAL (PN) kini semakin kerap diarahkan keluar dari Dewan Rakyat kerana didakwa melanggar peraturan dan tidak mengikut arahan Speaker.

Hari ini, Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) cuba membetulkan fakta yang pernah disebut menteri kononnya Kedah adalah antara negeri yang banyak kehilangan tanah rizab Melayu sebagai tidak betul.

- Advertisement -

Katanya, menteri terbabit berbohong di Dewan Rakyat kerana memberitahu perkara yang tidak betul.

“Saya ada fakta dari Pejabat Pejabat Tanah dan Galian Kedah yang menjelaskan jumlah tanah rizab Melayu di Kedah bertambah,” katanya ketika membangkit Peraturan Dewan di Dewan Rakyat, hari ini.

Pada 29 Mac lalu, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad, dilaporkan memberitahu keluasan kawasan pewartaan tanah rizab Melayu di Kedah menurun daripada 721,888.93 hektar pada 2021 kepada 716,537.28 tahun lalu.

Bagaimanapun, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, memberitahu bahawa data sehingga 19 Januari lalu, menunjukkan keluasan tanah rizab Melayu di Kedah meningkat 408 hektar.

Katanya, ini menjadikan keluasan tanah rizab Melayu di Kedah pada Januari 2023 seluas 721,905.613 hektar.

Sehubungan itu, Awang menganggap menteri berkenaan sebagai berbohong kerana menjelaskan data yang salah mengenai jumlah tanah rizab Melayu di Kedah.

Bagaimanapun perkataan bohong yang disebut Awang dibantah Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) yang mendesaknya menarik balik kenyataan tersebut.

Namun, Awang tetap menganggap kenyataan menteri berkenaan sebagai berbohong kerana tidak memberikan fakta yang betul di Dewan Rakyat.

Ini menyebabkan Timbalan Speaker, Alice Lau Kiong Yieng, mengarahkan Awang keluar dewan sekejap kerana tidak mahu menarik balik perkataan tersebut. – HARAKAHDAILY 3/4/2023

- Advertisement -