Kesan negatif pelabur asing jual saham besar-besaran

Ahmed Razman Abdul Latiff
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tindakan penjualan saham secara selama empat minggu berturut-turut oleh pelabur asing pada ketika ini dikhuatiri akan menyebabkan nilai Ringgit Malaysia semakin merosot.

Demikian kenyataan Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff sebagai respons  terhadap isu pelabur asing yang semakin giat membuat penjualan saham-saham secara besar-besaran di negara ini.

- Advertisement -

Beliau yang merupakan Pengarah Program MBA Putra Business School (PBS) memberitahu bahawa tindakan tersebut secara amnya, akan menyebabkan imej yang buruk kepada pelabur luar yang lain sehingga menyebabkan mereka tidak berminat untuk melabur dalam pasaran ekuiti negara ini.

“Apabila pelabur luar tidak lagi berminat untuk melabur, kesannya menyebabkan kerencatan prospek ekonomi keseluruhan negara,” kata beliau kepada HarakahDaily.

Menurutnya, kesan sebegini akan menyebabkan pelabur luar lebih berminat untuk melabur ke negara lain yang menjanjikan pulangan yang jauh lebih tinggi daripada negara ini. 

“Sebagai contoh, apabila kadar faedah di Amerika Syarikat (AS) pada masa ini tinggi 2 peratus daripada kadar faedah di Malaysia, maka pelabur luar akan jadi lebih berminat untuk melabur di Amerika Syarikat  berbanding Malaysia,” tegasnya.

Apabila ditanya mengenai langkah yang dapat diambil oleh rakyat Malaysia bagi menghadapi setiap situasi sebegini, beliau berkata: “Rakyat harus sentiasa mengamalkan perbelanjaan berhemah dan tidak melakukan sebarang pembaziran.”

Tambah beliau, rakyat mesti cuba menambahkan pendapatan bulanan sedia ada dengan meningkatkan kemahiran dan pengetahuan supaya mampu mendapatkan gaji yang lebih tinggi.

“Saya nasihatkan supaya jangan ambil lagi mana-mana hutang walau apa pun supaya apa apa krisis terjadi, ia tidak takkan memberikan impak yang besar terhadap kita. Sementara, yang dah ada hutang sila selesaikan secepat mungkin,” katanya. – HARAKAHDAILY 29/3/2023

- Advertisement -