Perjelaskan isu lawatan PM ke Arab Saudi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Luar perlu memberi penjelasan dalam Dewan Negara mengenai isu lawatan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim ke Arab Saudi selama tiga hari bermula 22 Mac lepas.

Senator Datuk Razali Idris berkata, lawatan tersebut dibahas oleh pelbagai pihak kerana tidak ada pertemuan antara Perdana Menteri dan Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdul Aziz mahu pun Putera Mahkota Mohammed Salman.

- Advertisement -

Beliau menyatakan tidak mahu menyalahkan Perdana Menteri dalam isu itu, namun pihak yang mengurus lawatan tersebut, Kementerian Luar Negeri, perlu tampil memberi maklumat sebenar.

“Nak jumpa Raja Arab Saudi bukan macam nak jumpa mamak pasembor, cakap boleh jumpa, sedangkan dia banyak protokol, kena kemas betul-betul temu janji, tidak boleh main sondol sahaja.

“Kita juga rugi dan memalukan Perdana Menteri. Jadi saya nak minta pihak kementerian bertanggungjawab memberi penjelasan dalam dewan yang mulia ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2023 di Dewan Negara, hari ini.

Sementara itu, Razali yang juga Ketua Penerangan Bersatu meminta Perdana Menteri supaya menegur taikun besar untuk bersama-sama membantu meringankan kos sara hidup rakyat.

Beliau berkata, Ahli Parlimen Tambun dilihat serius terhadap Syed Mokhtar Al-Bukhary, namun ahli perniagaan lain yang dilabelkan sebagai individu terkaya di Malaysia tidak dikenakan tindakan.

“Saya nak cadangkan supaya Perdana Menteri juga dapat duduk semeja bersama taikun-taikun dalam pelbagai sektor ini untuk memberi sumbangan membantu rakyat.

“Kalau dia serius seperti Syed Mokhtar, maka saya rasa harga gula, internet, telur, baja dan sebagainya akan turun boleh bantu kurangkan kos sara hidup rakyat,” katanya. – HARAKAHDAILY 29/3/2023

- Advertisement -