Mansuh SRP, anak muda Melayu paling terjejas

Bakri Jamaluddin
- Advertisement -

AYER KEROH: Tindakan kerajaan memansuhkan Skim Rumah Pertamaku (SRP) bakal menjejaskan golongan muda dalam usaha mereka membeli rumah terutamanya bagi orang Melayu.

Ahli Parlimen Tangga Batu, Bakri Jamaluddin berkata ia bukan soal rasis, tetapi jika polisi tersebut dilaksanakan, golongan yang sangat terkesan sudah tentu orang Melayu dan bumiputera. 

- Advertisement -

“Majoriti golongan muda adalah mereka yang baru bekerja dan sukar bagi mereka untuk menyediakan wang deposit dan kos untuk mengubahsuai rumah yang baru dibeli,” katanya kepada Harakahdaily.

Beliau turut memberikan contoh ilustrasi jika seseorang ingin membeli sebuah rumah berharga RM200,000, individu itu terpaksa menyediakan sebanyak  deposit sebanyak RM20,000 yang merupakan satu jumlah yang agak besar.

“Kemudian, kalau mereka nak masuk (selepas dapat) rumah, mereka (pembeli rumah) kena masukkan elektrik, air, buat gril dan sebagainya. Ini pun paling kurang pun perlukan lebih kurang RM10,000 hingga RM15,000 lagi. 

“Jadi maknanya, kalau kita nak beli dan masuk rumah, paling minimum anak-anak muda perlu ada wang tunai sekitar RM35,000 hingga RM45,000. Maka,  saya rasa sangat tidak wajarlah kerajaan bertindak sebegini (memansuhkan SRP),” tegasnya.

Terdahulu media melaporkan  pada 22 Mac bahawa Cagamas Bhd., iaitu perbadanan yang bertanggungjawab menguruskan SRP telah memaklumkan bahawa skim tersebut akan dimansuhkan berkuatkuasa 1 April tahun ini berdasarkan satu notis ringkas di laman sesawangnya. 

SRP membolehkan peminjam yang berkelayakan untuk mendapatkan pinjaman perumahan sehingga 120 peratus, yang mana Cagamas Bhd. akan menjamin sehingga 20 peratus nilai pembiayaan menjadikan pembeli tidak perlu menyediakan deposit atau bayaran-bayaran awal lain ketika membeli rumah.

Dalam pada itu, Bakri yang juga merupakan Timbalan Pesuruhjaya PAS Melaka turut melahirkan rasa kesal dengan tindakan kerajaan itu yang dilihat tidak membantu ketika rakyat sedang berhadapan dengan masalah kos sara hidup yang tinggi.

“Justeru, inilah sebuah kerajaan yang mencanangkan mereka membela nasib rakyat, mereka berjanji nak turunkan harga petrol dan sebagainya. Tetapi apabila mereka tidak dapat melaksanakan janji-janji dan dasar yang mereka buat, ini sebenarnya menjerat rakyat sendiri terutamanya anak-anak muda.

“Maka, kita mintalah supaya kerajaan memikirkan kembali niat dan hasrat untuk menghapuskan SRP dan kembalikannya semula supaya  boleh mempermudahkan anak-anak muda khususnya yang ingin untuk memiliki rumah,” ujarnya.

Tambah beliau, sekiranya SRP diteruskan,  ia bakal merancakkan kembali penjualan rumah-rumah yang banyak terbengkalai di negara ini.

“Saya tidak tahulah kalau kerajaan ada niat di sebaliknya dengan dasar dan polisi yang mereka perkenalkan.

“Tapi bagi saya, dasar ini memang langsung tidak berpihak kepada rakyat khususnya anak-anak muda  yang baru mendirikan rumahtangga,” katanya.

- Advertisement -