PM akui penyokong kerajaan juga disiasat kes rasuah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengakui bahawa ada penyokong kerajaan dan pembangkang yang disyaki terbabit dengan rasuah dalam siasatan pihak berkuasa.

Apabila ada Ahli Parlimen bertanya adakah siasatan mengenainya, beliau berkata maka jawabnya ada.

- Advertisement -

Namun, katanya perkara itu diserahkan kepada Peguam Negara bagi menentukan kes tersebut, sama ada akan didakwa atau sebaliknya.

Menurutnya, mengikut undang-undang yang ada sekarang, derma kepada parti politik tidak menjadi kesalahan, namun kontrak yang diberi kepada penyumbang dana tersebut dianggap salah.

“Itu menjadi salah kesalahan kerana bukan lagi kes pendanaan politik, sebaliknya sudah ada elemen rasuah,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang) pada sesi waktu pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Ahli Parlimen Rantau Panjang

Suasana Dewan Rakyat sedikit panas apabila Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) bangun membangkitkan Peraturan Dewan dengan merujuk Perdana Menteri menyebut nama Ahli Parlimen Pagoh (Tan Sri Muhyiddin Yassin) ketika menyebut isu pendanaan politik.

Wan Fasyshal berhujah, kes yang sedang dalam perhatian mahkamah tidak boleh disebut dalam Dewan Rakyat dan mahu tindakan dikenakan terhadap Ahli Parlimen Tambun.

Bagaimanapun, Gobind Singh Deo (PH-Damansara) menjelaskan kes membabitkan Muhyiddin belum berlangsung perbicaraan di mahkamah, dan tidak menjadi kesalahan disebut di Dewan Rakyat. Perkara ini dipersetujui Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul. – HARAKAHDAILY 28/3/2023

- Advertisement -