Muslimat Tambun edar kurma, takwim Ramadan

TAMBUN: Dewan Muslimat PAS Tambun menerusi Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan meneruskan program tradisinya melalui edaran buah kurma ke pejabat-pejabat kerajaan baru-baru ini.

Pengerusinya, Khamisah Abd Hamid berkata program yang dijalankan pihaknya saban tahun di bulan Ramadan ini bertujuan menyantuni penjawat awam di Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kinta.

Advertisement

Menurut beliau, ia juga sekali gus dapat mengekalkan hubungan baik bersama mereka yang rata-ratanya merupakan anak jati Tambun.

“Edaran kurma ini merupakan simbolik (bahawa) kami (Muslimat PAS) sentiasa akan mengekalkan hubungan baik dengan penjawat awam. Masing-masing sudah mengenali kami kerana setiap tahun kami akan datang santuni mereka semua. Insya-Allah untuk DUN Manjoi akan diadakan dalam masa terdekat,” ujarnya. 

Sementara, Ketua Muslimat PAS Tambun, Yusmaliza Yusof pula berkata, pihaknya  menyusun program-program sepanjang bulan Ramadan melalui usaha yang komited dari Muslimat tambun. 

“Alhamdulillah, saya dimaklumkan setiap zon dalam kawasan Tambun ini telah merangka program-program ihya’ Ramadan. (Antaranya) munajat, khatam perdana, edaran sahur (dan) iftar, tadarus, sumbangan asnaf di ambang Syawal dan lain-lain lagi,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/3/2023